Mixue Umum Pembukaan Snow King Magic Shop Pertama Di Malaysia – Kedai Barangan Eksklusif Mixue

October 27, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Jenama aiskrim dan minuman popular, Mixue, bakal memperluaskan empayar jenamanya dengan pembukaan cawangan pertama Snow King Magic Shop di Malaysia— sebuah kedai barangan eksklusif yang diinspirasikan daripada maskot ikoniknya, Snow King.

Melalui Snow King Magic Shop, Mixue memperkenalkan ruang baharu yang bukan sekadar menjual produk, tetapi turut membawa pengalaman yang penuh elemen fantasi dan keceriaan kepada para peminat.

Kedai ini akan menampilkan pelbagai koleksi eksklusif termasuk barangan edisi terhad, hadiah istimewa serta kejutan menarik yang hanya boleh didapati di cawangan berkonsep unik ini.

Pelancaran Snow King Magic Shop dilihat sebagai langkah strategik Mixue dalam memperkukuh identitinya sebagai jenama gaya hidup yang menyeronokkan, melangkaui penawaran minuman dan aiskrim semata-mata. Ia juga mencerminkan usaha jenama tersebut dalam membina hubungan yang lebih dekat dengan pelanggan menerusi elemen keseronokan dan kreativiti.

Dengan slogan “Where fun meets Mixue”, Snow King Magic Shop dijangka menjadi destinasi tumpuan baharu buat penggemar Mixue, terutamanya mereka yang ingin merasai suasana unik yang menggabungkan konsep hiburan dan pembelian dalam satu ruang interaktif.

Walaupun tarikh rasmi pelancaran belum diumumkan, Mixue dilihat sudah mula mempromosikan kempen pra-pengenalan di media sosial mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd