5 Mitos Tentang Menopaus Yang Ramai Wanita Masih Percaya

October 29, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Apabila pola tidur mula berubah, emosi menjadi tidak menentu dan tenaga semakin berkurang, ramai wanita mula menyedari tanda-tanda awal menopaus. Namun, topik ini masih jarang dibincangkan secara terbuka di Malaysia. Stigma dan rasa malu sering membuatkan wanita tidak pasti bagaimana untuk menghadapi fasa ini dengan yakin.

Secara umumnya, menopaus bukanlah penyakit, sebaliknya ia satu proses semula jadi yang menandakan perubahan fasa dalam kehidupan wanita. Setiap individu mengalaminya dengan cara berbeza – ada yang mengalami rasa panas tiba-tiba (hot flushes), sakit sendi, gangguan tidur atau perubahan dalam sistem penghadaman.

Kesedaran terhadap perubahan ini membantu wanita menyesuaikan diri dengan lebih baik dan mengurus kesan yang dialami secara berkesan.

Walaupun begitu, salah faham dan mitos tentang menopaus masih meluas. Kurangnya perbualan terbuka menyebabkan ramai wanita menerima ketidakselesaan sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Hakikatnya, dengan pengetahuan dan gaya hidup yang sihat, menopaus boleh dilalui dengan lebih tenang dan positif.

Berikut ialah lima mitos umum tentang menopaus yang wajar diketepikan oleh wanita Malaysia:

Mitos #1: Menopaus berlaku secara tiba-tiba

Untuk pengetahuan anda, menopaus tidak bermula sebaik sahaja haid berhenti. Ia merupakan proses beransur-ansur yang dikenali sebagai perimenopaus, dan boleh berlangsung selama beberapa tahun sebelum haid berhenti sepenuhnya.

Dalam tempoh ini, perubahan hormon boleh menyebabkan kitaran haid menjadi tidak menentu serta menjejaskan tidur dan sistem penghadaman. Pemeriksaan berkala penting bagi memastikan perubahan tersebut bukan berpunca daripada masalah kesihatan lain seperti gangguan tiroid.

Mitos #2: Semua wanita mengalami simptom yang sama

Setiap wanita melalui menopaus dengan cara yang berbeza. Walaupun hot flushes sering dikaitkan dengan menopaus, kajian tempatan mendapati sakit sendi merupakan simptom yang paling kerap dilaporkan, diikuti oleh gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Bukan itu sahaja, faktor gaya hidup turut memainkan peranan besar dalam mengimbangi perubahan hormon. Wanita yang aktif, menjaga pemakanan dan bijak mengurus tekanan biasanya melalui peralihan menopaus dengan lebih lancar dan terkawal.

Mitos #3: Hot flushes hanya berlaku pada siang hari

Kesan rasa panas atau peluh malam (night sweats) juga sering berlaku ketika tidur, dan keadaan ini boleh mengganggu rehat serta menjejaskan kestabilan emosi. Tahap tekanan yang tinggi meningkatkan penghasilan hormon kortisol, sekaligus memburukkan simptom tersebut.

Oleh itu, mengamalkan rutin gaya hidup yang positif seperti berjalan petang, menulis jurnal atau melakukan senaman pernafasan dapat membantu menstabilkan keadaan tubuh.

Mitos #4: Kenaikan berat badan tidak dapat dielakkan

Perubahan hormon memang boleh memperlahankan kadar metabolisme, namun ia bukanlah sebab utama kenaikan berat badan. Pemakanan tinggi karbohidrat halus seperti nasi putih, mi dan pastri boleh mengganggu keseimbangan hormon.

Sebaliknya, diet berasaskan ikan, kekacang dan legum seperti diet Mediterranean membantu menstabilkan hormon dan menyokong metabolisme yang sihat. Dengan pemakanan seimbang dan senaman berkala, berat badan dapat dikawal dengan baik walaupun dalam fasa menopaus.

Mitos #5: Menopaus adalah tanda berakhirnya ciri kewanitaan

Menopaus bukan titik akhir, tetapi peralihan menuju keseimbangan baharu. Ia membolehkan wanita menikmati kehidupan tanpa gangguan hormon bulanan dan memberi ruang untuk fokus kepada diri sendiri.

Dengan pengetahuan, sokongan dan penjagaan rapi, setiap wanita boleh menyambut fasa ini dengan keberanian dan keyakinan.

5 Cara Untuk Memudahkan Peralihan Menopaus

  1. Utamakan pergerakan berkala – Aktiviti fizikal seperti berjalan cepat, yoga dan latihan kekuatan ringan membantu menguatkan tulang, menstabilkan emosi dan mengawal berat badan.
  2. Jaga rutin tidur – Kurangkan kafein dan elakkan skrin sebelum tidur. Tidur berkualiti membantu mengimbangi hormon dan mengurangkan tekanan.
  3. Amalkan pemakanan berkhasiat – Makanan kaya kalsium, protein, serat dan antioksidan menyokong kesihatan hormon dan usus. Usus yang sihat membantu penyerapan nutrien serta keseimbangan hormon yang lebih baik.
  4. Pertimbangkan sokongan tambahan – Suplemen berfungsi sebagai pelengkap kepada gaya hidup sihat. Antara pilihan yang boleh membantu termasuk LAC Women’s Menorx untuk mengurangkan simptom, LAC Goodnight ZZzz Formula untuk tidur berkualiti, serta LAC FullCal Powder bagi menyokong kekuatan tulang.
  5. Tambah ilmu dan kekal berhubung – Sertai komuniti kesihatan wanita dan berbincang dengan pakar. Sokongan sosial dan pengetahuan yang tepat dapat membantu mengurangkan stigma serta meningkatkan keyakinan diri.

Menopaus bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya satu fasa semula jadi yang perlu difahami dan diraikan. Dengan pemahaman, penjagaan diri dan gaya hidup sihat, wanita boleh menghadapi perubahan ini dengan kekuatan, ketenangan dan keyakinan baharu untuk terus berkembang dalam setiap peringkat kehidupan mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd