Gunung Kinabalu Cipta Sejarah Dengan Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi Di Malaysia
Lina Rosli
Gunung Kinabalu mencatat sejarah baharu apabila monumen penanda arah kiblat di kilometer lapan (KM8) diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, monumen ini dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut – yang bukan sekadar pencapaian fizikal, tetapi juga memudahkan pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat ketika menunaikan solat di altitud tinggi.


Menurut Ketua Menteri Sabah, pendakian ke Gunung Kinabalu kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong antarabangsa, dan kemudahan seperti ini memperkukuh imej Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim.

Buat masa ini, projek pemasangan monumen ini dijalankan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Pejabat Mufti Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Taman-Taman Sabah (TTS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta beberapa jabatan lain seperti PDRM, JBPM, RTM dan Pejabat Daerah Ranau.