Kajian Dapati Flavonoid Beri Kesan Baik Kepada Kesihatan Tubuh

October 30, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Siapa antara anda yang gemar memilih makanan atau minuman berdasarkan warna yang memikat mata?

Sebagai contoh, ketika memilih buah epal, anda mungkin lebih tertarik pada epal berwarna merah menyala kerana percaya ia lebih segar dan manis. Begitu juga ketika menikmati hidangan di restoran — secara tidak sedar, kita sering memilih menu yang tampil paling berwarna dan menarik di pinggan. Betul, bukan?

Menariknya, ahli diet dan pakar pemakanan turut menggalakkan tabiat ini. Mereka menasihatkan agar kita memilih buah-buahan dan sayur-sayuran dengan warna yang terang dan menyerlah kerana warna tersebut menandakan kehadiran fitokimia, antioksidan, serta nutrien penting yang berperanan melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit.

Namun, menurut kajian terbaharu oleh Edith Cowan University, Australia, keindahan warna pada makanan bukan sekadar memanjakan mata — ia sebenarnya membawa kesan mendalam terhadap kesihatan dan jangka hayat manusia.

Hubungan Antara Flavonoid dan Umur Panjang

Kajian berskala besar ini melibatkan lebih daripada 120,000 individu yang dipantau selama lebih sedekad. Hasilnya menunjukkan bahawa pengambilan pelbagai jenis makanan kaya flavonoid mampu mengurangkan risiko penyakit kronik dan meningkatkan kualiti hidup.

Menurut Dr. Benjamin Parmenter, penyelidik utama kajian tersebut, pengambilan sekitar 500mg flavonoid sehari dikaitkan dengan pengurangan risiko kematian sebanyak 16%, serta penurunan hampir 10% bagi penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan penyakit pernafasan. Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira dua cawan teh sehari.

Walaupun teh merupakan antara sumber flavonoid yang popular, penyelidik menekankan kepentingan kepelbagaian sumber makanan. Ini kerana setiap jenis flavonoid membawa manfaat berbeza kepada tubuh, dan gabungan beberapa makanan boleh menghasilkan kesan yang lebih menyeluruh terhadap kesihatan.

Ini Senarai Makanan Dan Minuman Yang Tinggi Flavanoid

Bagi membantu individu mencapai pengambilan flavonoid yang seimbang, kajian tersebut mencadangkan beberapa makanan yang mudah didapati dan sesuai diamalkan setiap hari:

  • Teh – Selain membantu mengurangkan tekanan dan melancarkan pencernaan, teh juga mempunyai sifat anti-radang yang menyokong kesihatan jantung dan sistem imun.
  • Beri – Buah beri seperti bluberi, raspberi dan beri hitam kaya dengan antioksidan yang melindungi sel tubuh daripada kerosakan. Ia juga sesuai dijadikan snek ringan atau tambahan dalam smoothie dan yogurt.
  • Coklat Gelap – Pilihan sempurna untuk pencinta manisan. Kandungan flavonoid dalam coklat gelap membantu melancarkan aliran darah, mengurangkan tekanan darah, serta menurunkan risiko penyakit jantung.
  • Epal – Buah yang mudah didapati ini turut mengandungi flavonoid yang membantu meningkatkan kesihatan jantung dan sistem pernafasan. Ia boleh dinikmati begitu sahaja atau digabungkan bersama teh sebagai snek petang yang menyihatkan.

Dengan ini, harus diingatkan bahawa kesihatan tidak semestinya datang daripada perubahan yang besar atau mendadak. Sebaliknya, ia bermula daripada pilihan makanan yang bijak dan seimbang setiap hari.

Dengan menggabungkan pelbagai sumber flavonoid dalam diet harian, kita bukan sahaja membantu melindungi tubuh daripada penyakit, tetapi juga berpotensi untuk menikmati kehidupan yang lebih panjang, sihat dan berkualiti.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd