SEIKO Prospex Alpinist Edisi Terhad Thong Sia Dijual Pada Harga RM3,900 Seutas

October 30, 2025
Fesyen

Lina Rosli

SEIKO kini hadir dengan jam tangan edisi terhad, SEIKO Prospex Alpinist yang mengambil inspirasi daripada keindahan puncak gunung bersalji.

Untuk pengetahuan anda, SEIKO Prospex Alpinist merupakan jam tangan pertama Seiko untuk sukan. Jam tangan ini terkenal dengan ketepatan, ketahanan dan juga menampilkan fungsi yang praktikal – sesuai untuk kegunaan lasak khususnya untuk pendaki dan penggemar sukan luar.

Jam tangan Prospex Alpinist ini telahpun diperkenalkan pertama kali pada tahun 1959. Dan kini, edisi terbaharu 2025 menampilkan dail putih “powder snow” yang menawan, indeks segitiga di posisi 3, 6, 9, dan 12, serta jarum dan indeks yang lebih tinggi dengan Lumibrite untuk keterbacaan optimum dalam semua cahaya.

Bukan itu sahaja, jam tangan ini hadir fungsi kompas solar membolehkan penggunanya menentukan arah dengan tepat. SEIKO turut menggunakan Caliber 6R35 yang membantu memberikan ketepatan tinggi pada kitaran masa, dengan julat +25 hingga -15 saat sehari, serta dilengkapi rizab kuasa sehingga 70 jam, membolehkan jam terus berfungsi walaupun tidak dipakai selama beberapa hari.

Selain itu, fungsi tarikh yang disertakan memudahkan pemakainya memantau hari dan tarikh semasa perjalanan atau ekspedisi mencabar, menjadikannya pilihan tepat untuk pengembara dan pendaki.

Jam tangan ini diperbuat daripada kerangka keluli tahan karat, kristal safir dengan lapisan anti-reflektif pada bahagian dalam, penutup belakang lutsinar, dan tombol skru. Jam ini didatangkan dalam saiznya 39.5mm x 13.2mm dengan ciri kalis air hingga 20 bar dan kalis magnetik 4,800 A/m. Ia juga menampilkan pilihan tali Nato dengan gesper tiga lipatan lengkap dengan butang tekan – untuk menambah keselesaan dan gaya.

Bagi yang berminat, jam tangan SEIKO Prospex Alpinist edisi terhad ini hanya dihasilkan sebanyak 800 unit sahaja dan akan mula dijual pada November 2025 di butik Seiko terpilih dan kedai runcit Thong Sia di Malaysia, Brunei, Hong Kong, Macau, dan Singapura pada harga RM 3,900.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd