Proton e.MAS 5 Kini Rasmi Di Malaysia – Harga Bermula RM59,800
Lina Rosli
Proton kini secara rasmi melancarkan Proton e.MAS 5, model kereta elektrik kelas permulaan baharu. Untuk model e.Mas 5, ia ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Prime dan Premium.
Apa yang membezakan kedua-dua varian ini adalah dari sgei kapasiti bateri dan juga kelengkapan dan aksesori yang ditawarkan. Bagi varian Prime, ia dilengkapi bateri 30 kWh yang membolehkan perjalanan sejauh 225 km (WLTP).

Manakala varian Premium pula dilengkapi bateri 40 kWh dengan jarak perjalanan 325 km (WLTP) serta pecutan 0–50 km/j dalam 3.9 saat. Bukan itu sahaja, model premium juga turut menampilkan but automatik, fungsi pemanduan tahap 2 dan kamera 360 darjah – sekaligus memberikan kemudahan dan keselamatan sepanjang pemanduan.
Dari segi pengecasan, kedua-dua model mengekalkan kelajuan pengecasan yang sama iaitu DC 71 kW yang berupaya mengecas dari 30 hingga 80% dalam 21 minit dan pengecasan AC 6.6 kW mengambil masa sekitar 5 hingga 7 jam.
Untuk pengetahuan anda, Proton e.MAS 5 hadir dengan jaminan enam tahun tanpa had perbatuan dan jaminan bateri serta komponen selama lapan tahun atau 160,000 km, mengikut mana-mana yang terdahulu. Bagi pembelian sebelum akhir tahun 2025, pelanggan akan menerima rebat RM3,000 menjadikan harga promosi RM56,800 untuk Prime dan RM69,800 untuk Premium.

Bagi anda yang berminat juga, Proton turut menyediakan pakej Power Pack bernilai RM8,000 yang merangkumi servis pelupusan kenderaan lama, pembiayaan 5 tahun dengan kadar faedah 1.98%, pengecas AC 7 kW serta pakej data untuk sistem inforia.

Sejak dibuka untuk tempahan, Proton e.MAS 5 telah menerima lebih 5,000 tempahan. Dengan kombinasi harga berpatutan, jaminan permilikan yang menarik dan ciri lengkap, model ini berpotensi mengukuhkan populariti kenderaan elektrik dalam pasaran tempatan.
Di pasaran, varian Prime ditawarkan pada harga RM59,800 sebuah, sementra varian Premium pula ditawarkan pada harga RM72,800 sebuah.