Kajian Dapati Tidur Tidak Berkualiti Boleh Menambah Usia Otak
Lina Rosli
Tidur malam yang lena bukan sekadar memberi tenaga baharu untuk menghadapi hari esok tetapi turut memberikan tubuh badan anda masa untuk menstruktur semula keseluruhan sistem. Kajian terbaharu menunjukkan bahawa kualiti tidur yang baik sebenarnya memainkan peranan penting dalam memperlahankan proses penuaan otak.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal eBioMedicine oleh The Lancet menilai kualiti tidur individu berdasarkan beberapa faktor seperti:
- tempoh tidur
- kecenderungan tidur pagi dan malam
- kekerapan mengalami insomnia
- tabiat berdengkur
- tahap mengantuk pada siang hari

Untuk pengetahuan anda, kajian ini dijalankan sepanjang tempoh sembilan tahun dengan bilangan peserta sekitar 27,000 individu. Tidak ketinggalan, penyelidik turut menggunakan imbasan MRI untuk mengukur kadar penuaan otak para peserta.
Hasil kajian mendapati bahawa individu dengan kualiti tidur sederhana atau lemah mengalami penuaan otak yang lebih cepat berbanding mereka yang tidur dengan baik.
Peserta yang tidur dengan kualiti paling rendah menunjukkan tambahan satu tahun kepada usia otak mereka dalam tempoh tersebut, manakala mereka yang mempunyai kualiti tidur sederhana menunjukkan tambahan tujuh bulan. Menariknya, kesan ini lebih ketara dalam kalangan lelaki dan individu berusia bawah 60 tahun.
Penyelidik turut mengaitkan penuaan otak yang lebih cepat dengan peningkatan keradangan sistemik dalam tubuh — faktor yang dipercayai menjadi pencetus kepada perubahan struktur dan fungsi otak. Keadaan ini, jika berterusan, boleh meningkatkan risiko penyakit seperti demensia dan Alzheimer pada usia tua.
Menurut kajian juga, memiliki usia otak yang lebih tua daripada usia sebenar seseorang boleh menjadi tanda awal kepada penurunan fungsi otak. Kajian ini juga menunjukkan bahawa kualiti tidur yang rendah berpotensi menyumbang kepada perkembangan penyakit seperti demensia dan Alzheimer.

Walaupun begitu, pakar berpendapat bahawa masih belum terlambat untuk memperbaiki corak tidur. Antara langkah yang boleh diambil termasuk:
- memastikan tidur antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam
- menangani masalah seperti berdengkur atau insomnia
- mengamalkan gaya hidup sihat melalui senaman dan pengurusan tekanan
Di samping itu, kerana keradangan turut dikaitkan dengan penuaan otak, pengambilan makanan berasaskan diet anti-radang turut disarankan. Ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko kerosakan otak, malah menyokong kesihatan tubuh secara menyeluruh.
Seperti yang dijelaskan oleh pakar neurologi, tidur memberi ruang kepada otak untuk menyimpan memori serta membersihkan sisa metabolik yang boleh membentuk plak — salah satu punca utama penyakit Alzheimer.
Walaupun waktu tidur yang telah hilang tidak dapat diganti, setiap malam tetap menjadi peluang baharu untuk menjaga dan melindungi kesihatan otak.