PepsiCo Kini Berwajah Baharu Selepas 25 Tahun – Lebih Ceria, Lebih Dekat Dengan Pengguna

October 31, 2025
syarikat

Lina Rosli

Selepas 25 tahun mengekalkan imej korporat yang sama, PepsiCo kini hadir dengan identiti jenama baharu yang dilihat lebih memfokuskan kepada kelestarian.Bagi yang tidak mengetahui, jenama ini telahpun bermula sejak daripada tahun 1965 – yang menampilkan penyatuan dua jenama ikonik mereka iaitu Pepsi dan juga Lay’s

Sejak itu, syarikat ini telah berkembang menjadi keluarga besar dengan lebih 500 jenama termasuk Tostitos, Gatorade, Quaker, Siete dan poppi, serta lebih 300,000 kakitangan di lebih 200 negara.

Selari dengan kemaskini identiti jenama mereka, PepsiCo turut memperkenalkan logo baharu yang mana ia menggunakan tipografi baharu. Untuk logo ini juga, PepsiCo turut menggunakan huruf “P” sebagai pusat kepada naratif visualnya.

Bukan itu sahaja, PepsiCo turut memperkenalkan palet warna baharu iaitu kuning, biru dan hijau. Untuk ketiga-tiga warna ini, jenama ini dilihat menggunakan pilihan warna cerah yang melambangkan komitmen terhadap manusia dan alam sekitar.

Tipografi huruf kecil yang direka khas menonjolkan sifat mesra dan mudah didekati, selari dengan semangat berpusatkan pengguna yang menjadi teras kepada semua jenama di bawah PepsiCo.

Pada bahagian bawah logo pula, terdapat ikon senyuman — simbol sejagat yang menggambarkan misi utama PepsiCo iaitu “lebih banyak senyuman dalam setiap tegukan dan setiap gigitan.”

Falsafah ini kini diringkaskan dalam tiga kata utama yang mewakili DNA baharu syarikat — Food. Drinks. Smiles.

Jika dibandingkan logo baharu PepsiCo dengan yang sebelumnya, jenama ini menandakan transformasi jelas berbanding logo lama (1998–2025). Logo lama berbentuk bulat dengan corak beralun, menggunakan palet biru, merah dan putih, serta tipografi huruf besar yang formal, menekankan jenama Pepsi sahaja.

Sebaliknya, logo baharu menonjolkan huruf “P” dengan motif senyuman halus, palet warna lebih luas dan organik, serta tipografi huruf kecil yang mesra, menekankan keterhubungan dengan pengguna, nilai kelestarian, inovasi dan keseluruhan portfolio lebih 500 jenama PepsiCo.

Buat masa ini, identiti korporat baharu ini akan dilancarkan secara berperingkat, bermula dengan reka bentuk semula laman web rasmi PepsiCo.com dan saluran media sosial global seperti LinkedIn, Instagram, YouTube dan TikTok. Ia kemudiannya akan diperluas ke pembungkusan produk, ruang kerja dan papan tanda, bagi menyatukan visual antara jenama korporat dan jenama pengguna di bawah naungannya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd