Cuka Epal – Benarkah Ia Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan?
Lina Rosli
Cuka epal sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan. Dan ramai percaya bahawa ia boleh membantu menurunkan berat badan. Namun, adakah pengambilan cuka epal ini benar-benar berkesan atau sekadar mitos pemakanan moden?
Bagi yang belum mengetahui, cuka epal dihasilkan melalui proses penapaian dua peringkat. Pada peringkat pertama, epal dihancurkan dan dicampurkan dengan yis bagi menukar kandungan gula kepada alkohol. Seterusnya, bakteria ditambah untuk menukarkan alkohol tersebut kepada asid asetik, iaitu komponen utama yang memberikan cuka epal rasa masam serta aroma yang kuat.
Untuk pengetahuan anda, cuka epal mengandungi sekitar 5 hingga 6 peratus asid asetik. Setiap satu sudu besar iaitu sekita 15ml lazimnya mengandungi kira-kira 3 kalori sahaja dan hampir tidak mempunyai kandungan karbohidrat.

Adakah Cuka Epal Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan Dan Lemak Badan?
Setakat ini, bukti saintifik mengenai keberkesanan cuka epal dalam menurunkan berat badan masih terhad. Hanya satu kajian klinikal pada tahun 2018 yang melibatkan 39 peserta mendapati bahawa individu yang mengambil dua sudu besar bersamaan 30ml cuka epal setiap hari selama 12 minggu menunjukkan sedikit penurunan berat badan dan lemak badan berbanding mereka yang tidak mengambilnya.
Namun, kajian tersebut mempunyai beberapa kekangan yang menjejaskan ketepatan hasilnya. Antaranya, kajian ini tidak melibatkan kumpulan plasebo dan tidak mengambil kira faktor penting lain seperti corak pemakanan harian, tahap aktiviti fizikal serta gaya hidup peserta.
Faktor-faktor ini berpotensi mempengaruhi keputusan akhir, menjadikan dapatan kajian tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti yang kukuh atau muktamad.
Oleh yang demikian, pakar menyimpulkan yang mana pengambilan cuka epal mungkin hanya memberi kesan kecil terhadap penurunan berat badan, dan ia bukanlah kaedah utama untuk membakar lemak atau mencapai perubahan fizikal yang ketara tanpa sokongan gaya hidup sihat yang menyeluruh.

Bolehkan Cuka Epal Mengurangkan Selera Makan?
Berkenaan dengan pengurangan selera makan, beberapa kajian jangka pendek menunjukkan bahawa cuka epal berpotensi membantu meningkatkan rasa kenyang serta mengurangkan pengambilan kalori. Namun begitu, hasil kajian masih tidak konsisten dan berbeza antara satu sama lain.
Kajian semakan yang diterbitkan pada tahun 2022 mendapati hanya sebahagian kecil penyelidikan menunjukkan kesan positif terhadap pengurangan selera makan, manakala kajian jangka panjang tidak menunjukkan perubahan yang ketara.
Selain itu, kepekatan asid asetik dalam setiap jenama cuka epal juga berbeza-beza, menjadikan tahap keberkesanannya sukar untuk ditentukan secara tepat.
Bagi individu yang menghidap gastroparesis — iaitu keadaan di mana proses pengosongan perut menjadi perlahan, pengambilan cuka epal mungkin memburukkan gejala kerana ia turut memperlahankan pencernaan dan menyebabkan rasa tidak selesa selepas makan.
Manfaat Lain Cuka Epal
Walaupun kesannya terhadap penurunan berat badan belum terbukti kukuh, cuka epal mungkin memberikan beberapa manfaat kesihatan lain, antaranya:
- Menstabilkan paras gula darah dan insulin selepas pengambilan makanan tinggi karbohidrat.
- Meningkatkan sensitiviti insulin, sekaligus membantu mengawal paras gula darah.
- Membantu menurunkan paras kolesterol dan trigliserida sekaligus menyokong kesihatan jantung secara menyeluruh.
- Mempunyai sifat antibakteria yang dapat membantu melawan bakteria seperti E. coli dan S. aureus dalam keadaan tertentu.

Cara Pengambilan Yang Disarankan
Sekiranya anda ingin mencuba cuka epal, berikut beberapa cara yang disarankan:
- Campurkan 1 hingga 2 sudu besar (15–30 ml) ke dalam segelas besar air.
- Minum sebelum waktu makan, atau gunakan sebagai bahan dalam sos salad dan perapan.
- Mulakan dengan 1 sudu teh (5ml) dahulu untuk menilai tahap toleransi badan.
Elakkan mengambilnya tanpa dicairkan kerana asid dalam cuka boleh merosakkan enamel gigi serta menyebabkan iritasi pada tekak dan perut.
Secara keseluruhannya, cuka epal bukanlah penyelesaian utama untuk menurunkan berat badan, namun ia mungkin memberi manfaat kecil kepada kesihatan secara keseluruhan — terutamanya dalam membantu mengawal paras gula dan kolesterol.
Jika diambil dalam jumlah sederhana dan cara yang betul, cuka epal boleh dijadikan sebahagian daripada diet harian yang sihat. Namun, ia tetap perlu disertai dengan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, dan gaya hidup yang sihat untuk hasil yang berkesan.