Personaliti Narsistik: Mengagumi Diri Sendiri, Merendahkan Orang Lain
Bat
Dalam diam, ada individu yang hadir dengan keyakinan tinggi, sentiasa mahu menjadi tumpuan dan berbicara seolah-olah hanya pendapatnya yang paling bernas. Tujuannya mahu menceriakan suasana, tetapi hakikatnya membuat orang di sekeliling tidak selesa. Inilah antara tanda seseorang yang mempunyai personaliti narsistik.
Apa Sebenarnya Maksud Narsistik
Perkataan narsistik atau lebih tepatnya narsisistik berasal daripada kisah mitos Greek tentang Narcissus, seorang pemuda yaang jatuh cinta dengan pantulan wajahnya sendiri. Dalam dunia psikologi moden, ia merujuk kepada keadaan apabila seseorang terlalu mengagumi diri sendiri dan ingin sentiasa dipuji serta diiktiraf oleh orang lain.
Menurut kajian, personaliti narsisistik dikategorikan sebagai sebahagian daripada Gangguan Personaliti Narsisistik (NPD), iaitu keadaan mental aapabila seseorang mempunyai rasa penting yang berlebihan, memandang rendah terhadap orang lain dan tidak mempunyai empati. Walaupun nampak yakin, individu seperti ini sebenarnya menyembunyikan harga diri yang rapuh dan mudah tersinggung apabila dikritik.

Ciri-Ciri Narsistik
Berikut merupakan ciri-ciri narsistik yang jelas dilihat pada diri seseorang individu:
- Suka menjadi pusat perhatian – Mahu menjadi tumpuan dalam setiap perbualan dan situasi
- Perlu dipuji untuk rasa berharga – Tanpa pengiktirafan atau perhatian, mereka cepat berasa tidak dihargai
- Kurang empati – Sukar memahamai perasaan dan keperluan orang lain
- Manipulatif – Menggunakan orang lain untuk mencapai matlamat sendiri
- Sukar Menerima Kritikan – Walaupun kelihatan yakin, mereka mudah tersinggung dengan komen negatif
Mengikut kajian di Malaysia, pakar menganggarkan sekitar 1% daripada populasi umum berpotensi mengalami gangguan ini. Angka bersamaan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia.
Kajian terhadap pelajar universiti pula menunjukkan semakin ramai yang mempunyai ciri narsistik ringan, terutamanya disebabkan oleh pengaruh media sosial. Budaya selfie, gaya hidup seakan-akan influencer dan kebergantungan terhadap tanda “suka” di sosial media menjadikan ramai lebih fokus kepada imej diri berbanding nilai sebenar.

Kesan Narsistik Terhadap Diri dan Orang Lain
Walaupun tidak semua mempunyai gangguan personaliti, corak pemikiran seperti ini boleh menjadi tanda awal kepada masalah keyakinan dan hubungan sosial.
- Hubungan sosial renggang – Sukar membina hubungan sihat kerana ego yang tinggi dan keinginan untuk sentiasa betul.
- Tekana emosi – Di sebalik keyakinan palsu, mereka sering berasa kosong dan tidak cukup baik.
- Konflik di tempat kerja – Mencetuskan ketegangan dengan orang di sekeliling.
- Memberi tekanan kepada orang sekeliling – Orang lain mungkin merasa rendah diri atau terpaksa berpura-pura demi menjaga hati individu narsistik.
Cara Mengawal dan Mengatasi
- Kenal pasti tanda awal – Tanyakan diri sendiri sama ada anda terlalu pentingkan pandangan orang lain atau mudah marah apabila tidak diberi perhatian.
- Dapatkan bantuan profesional – Terapi seperti Cognitive Behavioral Therapy boleh membantu mengubah corak fikir dan tingkah laku.
- Latih empati – Cuba fahami perasaan orang lain dan raikan kejayaan mereka tanpa rasa terancam
- Kurangkan kebergantungan pada pujian – Belajar menghargai diri sendiri tanpa perlu pengiktirafan daripada orang lain.
- Amalkan kesederhanaan – Aktiviti refleksi diri, meditasi dan penulisan jurnal bantu menyeimbangkan ego dan emosi.
Personaliti narsistik mungkin sukar dikenal pasti kerana sering diselindungi oleh keyakinan dan pesona luaran. Namun di sebalik semua itu, ia boleh membawa kesan besar terhadap hubungan dan kesejahteraan emosi, bukan sahaja pada diri individu tetapi juga orang di sekelilingnya.