PROTON Memperkenalkan Model Saga Serba Baharu – Dilengkapi Enjin i-GT 1.5L Dan Rekaan Gril Sulaman Songket
Lina Rosli
PROTON kini membuka lembaran baharu dalam dunia automotif tempatan menerusi pelancaran model Saga baharu untuk tahun 2025 ini – sebuah model yang bukan sekadar dikemas kini, tetapi direka semula sepenuhnya hasil tangan jurutera dan pereka tempatan.
Menariknya, inilah kali pertama dalam sejarah PROTON sebuah model dibangunkan sepenuhnya oleh bakat Malaysia, dengan sokongan teknikal daripada Geely.

Prestasi Dipertingkat, Pemanduan Lebih Lancar
Dari segi prestasi, PROTON Saga 2025 ini dilengkapi enjin i-GT 1.5 liter baharu bersama transmisi CVT yang memberikan pemanduan lebih lancar dan efisien. Penggunaan bahan api juga dikatakan lebih baik berbanding model sebelumnya iaitu sekitar 4.9L/100 km (MDC) — menjadikannya antara sedan paling jimat dalam kelasnya.
Untuk Saga 2025 ini juga, PROTON menampilkan penggunaan sistem stereng berkuasa elektrik (EPS) baharu memberi kawalan yang lebih responsif dan stabil, sambil mengekalkan keselesaan yang sinonim dengan model Saga.

Dari segi ciri keselamatan pula, PROTON Saga 2025 ini dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 yang menawarkan sembilan fungsi keselamatan pintar termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Rear Collision Warning (RCW) dan Lane Change Assist (LCA).
Keseluruhan sistem ini disokong oleh enam beg udara serta struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF) — menjadikannya antara sedan paling kukuh dalam segmennya.
Gaya Kontemporari Dengan Identiti Malaysia
Melihat kepada rekaan luaran pula, PROTON Saga 2025 ini menggunakan lampu utama projektor LED penuh, lampu belakang LED penuh serta gril hadapan bermotifkan sulaman songket yang sebelum ini telah digunakan pada PROTON X50 2025. Menurut PROTON, penggunaan motif ini merupakan simbol warisan tempatan dalam rekaan moden.

Pada bahagian tayar pula, PROTON Saga baharu ini menggunakan rim aloi dua tona bersaiz 15 inci melengkapkan gaya dinamik dan elegan.
Bahagian dalamannya pula lebih moden dan interaktif dengan dwi-skrin bersepadu 16 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Pengguna juga akan menikmati ciri seperti lampu utama automatik dan fungsi Follow-Me-Home yang menambah kemudahan seharian.

Untuk pengetahuan anda, PROTON Saga 2025 ini menggunakan platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang direka untuk memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, prestasi dan emisi. Platform ini membolehkan integrasi teknologi terkini seperti sambungan pintar dan sistem pemanduan separa automatik di masa hadapan.
Dan untuk platform ini, PROTON dikatakan memiliki sepenuhnya hak harta intelek (IPR). Dengan ini, ia bukan sahaja memperkukuh kemampuan R&D syarikat, malah membuka peluang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kejuruteraan serantau dalam ekosistem Geely.

Langkah ini menandakan transformasi PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada jenama global yang semakin berdikari. Dengan tagline “Intelligence That Thrills”, Saga kali ini membawa maksud lebih besar — bukan hanya tentang gaya atau enjin, tetapi tentang bagaimana kejuruteraan tempatan mampu bersaing di peringkat dunia.