Penyamar Warna – Ketahui Jenis & Penggunaan Yang Betul Sewaktu Solekan
Bat
Dalam rutin solekan harian, penggunaan penyamar warna atau colour corrector yang tepat sering dipandang remeh, sedangkan ia memberi pengaruh besar terhadap hasil solekan secara keseluruhan.
Untuk pengetahuan anda, penyamar warna memainkan peranan penting dalam menutup cela dan menyeimbangkan warna kulit sebelum penggunaan bedak asas, sekaligus menjadikan solekan tampak lebih kemas, sekata dan berseri.
Sama ada untuk menyamarkan lingkaran gelap di bawah mata, mengurangkan kemerahan pada pipi, atau menutup parut jerawat yang masih ketara, pemilihan warna penyamar yang sesuai mampu membantu mengaburkan ketidaksempurnaan kulit dengan lebih berkesan dan semula jadi.

Apa Itu Penyamar Warna?
Penyamar warna ialah produk solekan yang diformulasi untuk menetralkan warna kulit yang tidak sekata berdasarkan konsep roda warna (color wheel).
Setiap warna pada roda ini mempunyai fungsi bertentangan untuk menyeimbangkan tona tertentu. Sebagai contoh, warna hijau digunakan untuk menutup kemerahan, manakala warna pic atau jingga berfungsi menutupi tona kebiruan di bawah mata.
Penyamar tona warna bukan sekadar alat tambahan dalam solekan, tetapi kunci utama untuk hasil yang lebih sempurna dan profesional.
#1 Hijau

Untuk penyamar warna hijau, ia berfungsi untuk menutupi kemerahan pada kulit, seperti jerawat, ruam atau kulit yang sensitif.
Tona hijau ini sesuai digunakan oleh semua jenis tona kulit, sama ada cerah, sederhana atau gelap, kerana kemerahan boleh berlaku pada mana-mana bahagian tona kulit.
#2 Pic atau JIngga

Sementara itu, penyamar berwarna pic dan jingga pula berfungsi untuk menyamarkan lingkaran gelap di bawah mata serta tona kebiruan pada wajah yang sering membuatkan kulit kelihatan letih.
Secara umumnya, warna pic lebih sesuai digunakan pada kulit cerah hingga sederhana kerana memberikan kesan yang lembut dan semula jadi, terutama untuk menutup lingkaran bawah mata yang tidak terlalu gelap. Ia membantu mencerahkan kawasan tersebut tanpa menjadikan solekan kelihatan tebal atau berlebihan.
Bagi tona jingga pula, ia lebih ideal untuk kulit sawo matang hingga gelap kerana keupayaannya menutupi lingkaran bawah mata yang lebih pekat dengan berkesan. Apabila digunakan dengan teknik yang betul, warna ini mampu mengimbangi kehitaman tanpa kelihatan terlalu terang, seterusnya menghasilkan kemasan solekan yang lebih sekata dan kemas.
#3 Kuning

Seterusnya, untuk penyamar warna kuning, ia digunakan untuk menyeimbangkan tona keunguan atau kebiruan pada kulit, seperti lebam kecil atau bawah mata.
Bukan itu sahaja, warna kuning adalah paling sesuai untuk kulit cerah hingga sederhana, dan juga boleh digunakan oleh kulit neutral bagi memberi kesan segar dan cerah.
#4 Ungu atau Lavender

Penyamar warna ungu lazimnya digunakan untuk menetralkan tona kulit yang kelihatan kekuningan atau kusam, terutamanya bagi mereka yang sering berdepan masalah wajah tampak letih dan kurang bermaya.
Dalam aplikasi solekan, pembetul warna ini membantu mencerahkan penampilan kulit secara semula jadi, sekaligus memberi kesan wajah yang lebih berseri dan segar. Ia juga berfungsi untuk mengimbangi tona tidak sekata, menjadikan kulit kelihatan lebih ‘hidup’ sebelum bedak asas disapukan.
Warna ungu amat sesuai untuk individu berkulit cerah dan kuning langsat kerana keupayaannya menaikkan seri wajah tanpa membuatkan solekan kelihatan terlalu tebal. Dengan penggunaan yang betul dan sekadar nipis, ia membantu mengelakkan wajah daripada kelihatan pudar, seterusnya menghasilkan kemasan solekan yang lebih sekata dan menawan.
#5 Merah atau Coral

Bagi penyamar warna merah dan coral, ia berfungsi untuk menyamarkan parut gelap serta lingkaran bawah mata yang pekat, khususnya bagi mereka yang mempunyai tona kulit lebih gelap atau masalah kehitaman yang ketara.
Warna merah sangat sesuai untuk kulit sawo matang hingga gelap kerana keupayaannya menyeimbangkan tona kehitaman dengan lebih efektif, sekaligus mengelakkan kawasan tersebut kelihatan kelabu selepas bedak asas disapu. Pastikan anda menggunakannya secara nipis dan tepat kerana ia akan menghasilkan kemasan solekan yang lebih sekata dan bersih.
Sementara itu, penyamar berwarna coral pula lebih ideal untuk kulit sederhana kerana tonanya yang lebih lembut. Ia memberikan hasil yang kelihatan semula jadi tanpa nampak berlebihan, terutamanya untuk menutup lingkaran bawah mata, sambil mengekalkan seri wajah yang segar dan seimbang.
Cara Memakai Penyamar Warna Dengan Betul
Pertama sekali, pastikan anda memulakan dengan kulit yang bersih dan lembap. Sapukan penyamar ini hanya pada kawasan yang memerlukan dalam kuantiti kecil menggunakan berus atau hujung jari.

Kemudian, dengan menggunakan tangan atau berus, anda boleh meratakan perlahan-lahan dengan menepuk penyamar tersebut. Elakkan daripada menggosok, agar kesannya tidak hilang.
Setelah itu, sapukan bedak asas dan juga sahap noda (concealer) seperti biasa untuk menutup lapisan penyamar di kulit – ini bagi mendapatkan hasil yang sekata.
Harus diingatkan agar anda perlu mengelakkan menggunakan terlalu banyak produk kerana ia boleh membuat solekan tampak berat dan tidak semula jadi.