PROTON Saga Baharu Kini Boleh Mula Dipra-tempah
Lina Rosli
PROTON secara rasmi mengumumkan pembukaan tempahan untuk PROTON Saga baharu ini.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, PROTON Saga merupakan kereta pertama rakyat Malaysia yang kini menjadi simbol kejuruteraan tempatan yang terus gemilang. Oleh itu, dengan kemunculan model baharu ini, PROTON memperkukuhkan komitmennya dalam menawarkan mobiliti pintar yang mampu milik serta berdaya saing di peringkat global.

Bagi anda yang berminat untuk melakukan pra-tempah bagi model Saga baharu ini, ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, dengan pilihan lima warna menarik – Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Armour Silver dan Snow White.
Berdasarkan perkongsian, anggaran harga jualan bagi model ini adalah bermula daripada RM40,000 hingga RM50,000, menjadikannya sedan dengan harga yang kompetitif dalam segmennya.

Sempena pembukaan tempahan ini, PROTON turut menawarkan ganjaran eksklusif untuk pelanggan terawal. Bagi mereka yang membuat tempahan antara 10 November 2025 hingga pelancaran rasmi dan melengkapkan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Disember 2025, mereka akan menerima servis percuma selama setahun atau 20,000km (yang mana terdahulu) serta kad Touch ‘n Go edisi terhad Saga Serba Baharu.
Bagi yang berminat, anda boleh mula melakukan pra-tempah di semua wakil pengedar sah PROTON di seluruh negara bermula hari ini. Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengenai PROTON Saga baharu ini, layari laman web rasmi PROTON atau ikuti Proton Cars Official di platform media sosial utama.