KHub Memperkenalkan Era Baharu Karaoke Rumah Dengan Pendekatan Lebih Moden Dan Berbudaya
Lina Rosli
Karaoke di Malaysia kini melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran KHub, sebuah aplikasi televisyen pintar dan pemain media yang direka untuk menjadikan aktiviti menyanyi di rumah lebih imersif dan inklusif.
Apa yang menarik, KHub ini dibangunkan untuk menyatukan teknologi, kreativiti dan budaya bagi menawarkan pengalaman karaoke yang lebih moden berbanding sistem tradisional.

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengakses katalog awanan yang merangkumi variasi pilihan lagu berlesen dan dihasilkan secara profesional, dengan kemaskini mingguan bagi memastikan pilihan lagu sentiasa relevan.
Permintaan lagu peribadi turut dipenuhi dalam tempoh dua hingga lima hari, menjadikan setiap senarai main lebih peribadi dan dinamik.
Bukan itu sahaja, sistem audio bertaraf studio yang dibina dalam platform ini memastikan kualiti bunyi yang jelas dan bertenaga, sekaligus mengubah ruang rumah menjadi pentas peribadi.
Menurut pengasasnya, Tai Wah Lim, KHub direka sebagai ruang untuk pengguna mengekspresikan diri. Ia bukan sekadar pengganti mesin karaoke, tetapi satu platform yang menghargai peranan muzik dalam kehidupan sosial dan budaya.

Melalui ciri rakaman, pertandingan nyanyian, komuniti dalaman, tawaran pembelian berkumpulan dan modul latihan vokal, KHub berkembang sebagai sebuah ekosistem yang memupuk keterlibatan dan pembangunan bakat.
Antara keistimewaan lain termasuk antaramuka dwibahasa yang mesra pengguna, pilihan untuk menggunakan peralatan sedia ada, serta jaminan penggantian seumur hidup untuk USB Music Store bagi pengguna yang memilih opsyen tersebut.
Dengan pelan premium fleksibel, pengguna boleh menikmati kandungan dan fungsi tambahan tanpa komitmen jangka panjang.
Kehadiran KHub di pasaran tempatan menandakan peralihan daripada konsep karaoke sebagai produk fizikal kepada pengalaman budaya yang lebih luas. Ia membentuk komuniti, meraikan kepelbagaian, dan menjadikan nyanyian sesuatu yang boleh dinikmati pada bila-bila masa — bukan hanya di pusat karaoke, tetapi di rumah, bersama sesiapa sahaja.