Perbezaan Antara Biji Kopi Light Roast, Medium Roast Dan Dark Roast
Lina Rosli
Bagi peminat kopi, istilah light roast, medium roast dan dark roast merupakan perkara asas yang sering muncul ketika memilih biji kopi. Ini kerana setiap tahap panggangan ini mempengaruhi rasa, aroma, keasidan dan struktur kopi dalam secawan minuman yang dinikmati.
Sebagai contoh, kopi yang menggunakan biji yang dipanggang ringan atau light roast lazimnya mengekalkan keasidan semula jadi dan nota rasa akan terasa lebih jelas, manakala medium roast menawarkan keseimbangan antara rasa manis, masam dan pahit.
Dark roast pula cenderung menghasilkan rasa yang lebih pahit, lebih smoky dan bold — sesuai untuk mereka yang gemarkan profil rasa yang berat.

Namun, harus diingatkan juga, profil rasa ini tidak ditentukan oleh warna biji. Proses ini sebenarnya melibatkan reaksi kimia yang kompleks, perubahan suhu yang tepat dan teknik kawalan haba yang menentukan bagaimana gula semula jadi, minyak, serta komponen aromatik dalam biji kopi berkembang.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara ketiga-tiga tahap panggangan ini, berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui:
Light Roast – Rasa Lebih Ringan Dan Kurang Pahit
Light roast ialah biji kopi yang dipanggang untuk tempoh paling singkat pada suhu paling rendah. Ia kebiasaannya menampilkan warna biji perang muda, permukaannya kering tanpa minyak dan hadir dengan profil rasa berasid yang menonjol – yang mana anda boleh menikmati nota buah-buahan, citrus, beri atau bunga, bergantung pada asal biji kopi.

Secara umumnya, light roast sesuai untuk mereka yang ingin merasai identiti sebenar kopi dan merupakan pilihan paling ideal apabila diseduh menggunakan kaedah manual seperti pour-over atau Chemex, kerana ia mengekalkan kejelasan rasa dan aroma.
Dari segi proses, biji kopi light roast dipanggang pada suhu sekitar 180°C hingga 205°C. Proses panggang dihentikan sewaktu atau sejurus selepas mencapai first crack, iaitu ketika biji mula mengembang dan menghasilkan bunyi rekahan.
Di pasaran, biji kopi yang biasanya dipanggang ringan adalah biji kopi single origin seperti Ethiopia, Kenya atau Yirgacheffe.
Medium Roast – Hadir Dengan Profil Rasa Yang Seimbang
Medium roast menawarkan keseimbangan sempurna antara rasa asli biji kopi dan karakter panggangan. Ia merupakan pilihan yang paling serba boleh dan antara tahap panggang paling digemari di seluruh dunia.
Biji kopi medium roast biasanya berwarna perang sederhana, dengan permukaan masih kering dan tidak berminyak, namun strukturnya mula mengembang lebih ketara jika dibandingkan dengan light roast.
Dari segi rasa, medium roast hadir dengan profil rasa yang menonjolkan nota karamel, kacang dan coklat yang halus. Dan ini sebenarnya terhasil kesan daripada tindak balas Maillard dan karamelisasi gula semula jadi dalam biji kopi. Walaupun karakter panggang mula menonjol, rasa asal kopi masih dapat dinikmati, menjadikannya pilihan yang seimbang.

Bukan itu sahaja, kandungan kafein biji kopi medium roast juga sedikit berkurangan berbanding light roast, tetapi perbezaannya tidak terlalu signifikan.
Dari segi proses, biji kopi medium roast akan dipanggang pada suhu sekitar 210°C hingga 220°C, iaitu antara first crack dan sebelum second crack, bagi menghasilkan keseimbangan ideal antara rasa asal dan nota panggang yang lembut.
Bagi yang menggemari biji kopi medium roast, ia dikatakan sesuai untuk hampir semua kaedah bancuhan, termasuk espresso, French Press, mesin automatik dan cold brew. Tahap ini menawarkan rasa yang konsisten dan mudah diterima oleh peminum kopi harian, menjadikannya tahap panggang paling fleksibel.

Dark Roast – Profil Rasa Yang Lebih Berani
Dark roast ialah tahap panggang paling intensif yang menghasilkan biji kopi berwarna gelap, berminyak dan mempunyai rasa panggang yang dominan. Ia sesuai untuk penggemar kopi yang menggemari rasa yang pahit yang intense.
Secara umumnya, profil rasa dark roast dicirikan oleh keasidan yang paling rendah berbanding tahap lain. Biji kopi ini lebih cenderung ke arah rasa pahit, bold dan sedikit hangus. Namun, di hujung rasa, ia mula hadir rasa coklat gelap, molasses atau karamel hangus.
Untuk pengetahuan anda juga, disebabkan ia dipanggang lebih lama, maka kandungan kafein adalah lebih berkurangan akibat proses panggang yang panjang.

Dari segi proses, biji kopi dark roast ini biasanya dipanggang pada suhu sekitar 225°C hingga 240°C sehingga biji mencapai atau melepasi second crack. Pada tahap ini, berlaku proses pyrolysis, iaitu pemecahan struktur sel kopi akibat pendedahan haba tinggi. Apabila mencapai tahap ini, minyak semula jadi akan keluar ke permukaan, menjadikan biji berkilat, manakala rasa panggang mula menutupi sebahagian besar karakter asal kopi.
Untuk biji kopi ini juga, ia paling sesuai digunakan untuk espresso atau minuman berasaskan susu seperti latte dan cappuccino, kerana rasa yang kuat membolehkan kopi mengekalkan identiti dan ketegasan aromanya walaupun dicampur susu atau gula.

Dengan pemahaman terhadap perbezaan setiap tahap panggangan, pengalaman menikmati kopi menjadi lebih bermakna. Anda dapat mengenali profil rasa yang tersendiri pada setiap cawan dan menghargai karakter biji kopi secara lebih mendalam.
Selain itu, pemilihan biji kopi yang tepat membolehkan anda memadankannya mengikut citarasa peribadi, kaedah bancuhan, serta suasana minum kopi yang diingini, sekaligus menjadikan setiap hirupan lebih memuaskan.