Pengetahuan Asas Tentang Berlian – Apa Yang Perlu Anda Ketahui Sebelum Membeli

November 19, 2025
Perhiasan

Lina Rosli

Dalam dunia barang kemas, berlian sentiasa dianggap sebagai simbol kemewahan, ketulenan dan keteguhan cinta. Namun di sebalik kilauan yang memukau, terdapat sains, standard penilaian dan pertimbangan penting yang perlu difahami sebelum seseorang membuat pembelian.

Bagi pembeli moden, pengetahuan asas mengenai berlian bukan sekadar informasi tambahan — tetapi ia adalah keperluan untuk memastikan nilai, kualiti dan keaslian sesuatu batu permata.

Di sinilah kepakaran jenama seperti Wah Chan Jewellery memainkan peranan, dengan tradisi pertukangan halus yang membimbing generasi pembeli untuk membuat pilihan yang lebih yakin dan berinformasi.

Selama berdekad-dekad, tukang mahir Wah Chan menghasilkan berlian dengan ketelitian yang tinggi, memastikan setiap batu bulat cemerlang memiliki potongan, simetri dan kilauan yang mencapai tahap kecemerlangan.

Proses ini bukan sekadar melibatkan pemilihan batu yang sempurna, tetapi juga dedikasi terhadap standard antarabangsa yang mendefinisikan keindahan dan nilai berlian sejak dahulu lagi. Sama seperti cap jari manusia, setiap berlian memiliki ciri unik yang membezakannya, dan ciri-ciri inilah yang dinilai melalui piawaian global yang dikenali sebagai 4C iaitu Colour, Clarity, Cut dan Carat.

Asas #1 Warna (Colour) – Kejelasan Semula Jadi Berlian

Untuk pengetahuan anda, warna berlian merujuk kepada tona asli yang hadir dalam berlian putih. Walaupun kita sering membayangkan berlian sebagai batu yang jernih, hakikatnya kebanyakan berlian semula jadi memiliki sedikit rona kuning. Dan menurut Amanda Koo, yang juga merupakan seorang ahli gemologi merangkap Pengurus Besar Wah Chan, semakin jernih dan tidak berwarna sebuah berlian, semakin tinggi nilainya kerana berlian sedemikian adalah jauh lebih jarang ditemui.

Industri perhiasan menilai warna berlian berdasarkan skala antarabangsa dari gred D hingga Z, dengan D mewakili kategori paling jernih dan benar-benar tidak berwarna.

Berlian dalam kategori D hingga F digemari pengumpul kerana kejelasan dan kecemerlangannya, manakala gred G hingga J dianggap hampir tidak berwarna — pilihan popular untuk mereka yang mahukan keseimbangan antara kecantikan dan nilai.

Berlian dengan rona kuning yang lebih ketara, seperti gred K hingga M, masih menjadi pilihan sesetengah pemilik kerana karakternya yang tersendiri, namun ia biasanya ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan.

GredKeterangan Warna
D – FTidak Berwarna (Colourless)
G – JHampir Tidak Berwarna (Near Colourless)
K – MKuning Sedikit (Faint)
N – RKuning Sangat Ringan (Very Light)
S – ZBerwarna (Light)

Namun, untuk berlian berwarna seperti biru, merah jambu, atau kuning vivid, ia sebenarnya tergolong dalam kategori tersendiri. Batu-batu dalam kelompok ini jarang ditemui dan sering menjadi pilihan kolektor kerana sifatnya yang unik dan nilainya yang lebih premium.

Asas #2 Kejelasan (Clarity) – Ketulenan Berlian

Kejelasan atau clarity pula merujuk kepada tahap kecacatan dalaman (inklusif) atau luaran (kecelaan) yang terdapat dalam batu.

Seperti yang ramai maklum, berlian terbentuk secara semula jadi dalam tekanan dan suhu ekstrem di bawah kerak bumi, dan proses ini menjadikan inklusif sesuatu yang normal.

Oleh itu, penggredan untuk tahap kejelasan berlian dilakukan melalui pemerhatian profesional di bawah pembesaran 10 kali (10x), dan berlian yang tidak menunjukkan sebarang kecacatan walaupun di bawah pembesaran ini diklasifikasikan sebagai Flawless (FL) — kategori yang paling jarang dan bernilai tinggi.

Di bawahnya pula terdapat gred Internally Flawless (IF), diikuti kategori VVS1/VVS2, VS1/VS2, dan SI1/SI2, yang semuanya merangkumi tahap inklusif berbeza yang biasanya tidak mengurangkan kecantikan keseluruhan batu daripada pandangan mata kasar.

Berlian dalam kategori I1 hingga I3 pula memaparkan inklusif yang mudah dilihat, namun tetap menjadi pilihan sesetengah pengguna yang mengutamakan saiz dan nilai berbanding kesempurnaan visual.

GredKeterangan Kejelasan
FLTidak Cacat (Flawless)
IFTidak Cacat Dalaman (Internally Flawless)
VVS1 / VVS2Inklusif Sangat Sangat Sedikit (Very Very Slightly Included)
VS1 / VS2Inklusif Sangat Sedikit (Very Slightly Included)
SI1 / SI2Inklusif Sedikit (Slightly Included)
I1 / I2 / I3Termasuk (Included)

Asas #3 Cut (Potongan) – Seni Yang Menentukan Kilauan

Potongan merupakan aspek paling berpengaruh terhadap kecemerlangan dan sinaran sesebuah berlian.

Tidak seperti carat atau warna, potongan ini tidak berlaku secara semula jadi. Ia merupakan hasil daripada kemahiran dan ketelitian manusia. Potongan yang ideal memastikan cahaya yang memasuki berlian dipantulkan kembali melalui bahagian atas batu, menghasilkan kilauan dan “sparkle” yang memukau.

Di Wah Chan, potongan berlian dinilai berdasarkan simetri, bahagian facet dan kesempurnaan geometri bagi memastikan setiap batu mencapai kecemerlangan yang optimum. Berlian dengan potongan unggul akan sentiasa kelihatan lebih berkilau walaupun berat karatnya lebih kecil, menunjukkan betapa pentingnya aspek ini dalam menentukan keindahan keseluruhan.Asa

Asas #4 Carat (Berat Karat) – Ukuran Berat, Bukan Semestinya Saiz

Dan akhir sekali, faktor yang perlu diteliti oleh pembeli adalah dari segi berat karat atau dipanggil carat.

Secara umumnya, carat sering dianggap sebagai faktor paling mudah difahami, tetapi ia juga kerap disalahertikan.

Carat merujuk kepada berat berlian, bukan semestinya saiz visualnya. Dua berlian yang sama berat mungkin kelihatan berbeza saiznya bergantung pada potongan, bentuk dan nisbah dimensinya.

Berlian dengan carat yang lebih besar semakin jarang apabila beratnya meningkat, menjadikan harga per karat bertambah mengikut kadar yang lebih tinggi. Namun begitu, memilih carat yang sesuai memerlukan keseimbangan antara berat, kualiti potongan dan bajet, kerana ketiga-tiga faktor ini memainkan peranan dalam menentukan keindahan dan nilai jangka panjang.

Mengapa 4C Penting Untuk Pembeli Hari Ini?

Mempelajari asas 4C bukan sekadar aspek teknikal dalam memilih berlian — ia adalah kunci untuk memahami nilai jangka panjang, estetika dan keistimewaan setiap batu. Walaupun potongan (cut) dan berat karat (carat) juga memainkan peranan penting, warna dan kejelasan juga sering menjadi pertimbangan awal kerana ia terus mempengaruhi penampilan berlian di mata pemiliknya.

Di Wah Chan Jewellery, penilaian ini dipadankan pula dengan sentuhan tukang yang berpengalaman. Setiap berlian dipilih, dinilai, dipotong dan dipasang dengan ketelitian yang memastikan ia bukan sahaja cantik, tetapi juga memenuhi piawaian antarabangsa yang mengutamakan kesempurnaan dan nilai.

Dengan pendekatan ini, setiap pelanggan dapat memiliki berlian yang bukan sekadar perhiasan, tetapi warisan bermakna untuk generasi akan datang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd