Sunshine Bakeries Memperkenalkan KOMUGI GOLD Roti Hana Ocha Edisi Terhad
Lina Rosli
Sunshine Bakeries kembali dengan inovasi terbaharu melalui pelancaran KOMUGI GOLD Roti Hana Ocha. Ia merupakan produk baharu dari siri KOMUGI GOLD yang sebelum ini diperkenalkan menerusi Dark Rye Wholemeal Loaf.
Apa yang menarik, roti edisi terhad ini hadir dengan resipi yang menggabungkan seni pembuatan roti Jepun dengan keharuman bunga Melati.
Menurut Sunshine Bakeries, Roti Hana Ocha diinspirasikan daripada ketenangan ritual teh Jepun, yang menekankan keseimbangan, keanggunan dan perhatian terhadap perincian. Ia diperbuat daripada tepung gandum premium Jepun bersama rai gelap, malt, bijan hitam dan oat – dan menambah haruman bunga Melati bagi menghasilkan aroma lembut yang ketara sebaik sahaja bungkusan dibuka.

Dengan kombinasi bahan ini, ia memberikan tekstur gebu, rasa manis semula jadi serta nota madu ringan yang melengkapkan pengalaman menikmati roti ini.
Bagi yang ingin mendapatkan roti ini, anda boleh memadankannya bersama teh hijau, teh hitam ataupun kopi. Bukan itu sahaja, roti ini juga mudah disesuaikan dengan pelbagai pilihan sapuan seperti mentega, madu atau jem, menjadikannya pilihan serba guna untuk kegunaan harian.
Untuk yang berminat, KOMUGI GOLD Roti Hana Ocha kini boleh didapati untuk masa terhad di rangkaian pasar raya dan kedai serbaneka utama di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Ipoh.
Produk ini juga dijamin halal dan dirumus khusus untuk memenuhi selera pengguna moden yang menghargai kesederhanaan dan kualiti.