citizenM Bukit Bintang Sertai Marriott Bonvoy, Bawa Nafas Segar Ke Dunia Penginapan Moden
Lina Rosli
Marriott Bonvoy secara rasmi mengumumkan penyertaan citizenM Kuala Lumpur Bukit Bintang ke dalam rangkaian globalnya.
Langkah ini turut menandakan kemunculan pertama jenama citizenM dalam ekosistem Marriott Bonvoy bagi rantau Asia Pasifik (tidak termasuk China), susulan pengambilalihan citizenM oleh Marriott International pada awal tahun ini.

Untuk pengetahuan anda, citizenM Kuala Lumpur Bukit Bintang terletak di lokasi segitiga emas Kuala Lumpur yang mana ia mengetengahkan konsep hospitaliti moden yang menggabungkan reka bentuk yang minimalis, teknologi yang intuitif dan pengalaman penginapan yang lengkap.
Jadinya, ia sesuai untuk individu yang ingin menerokai pengalaman penginapan di tengah-tengah pusat membeli-belah dan hiburan – terutamanya bagi anda yang ingin ke Jalan Alor, Pavilion Kuala Lumpur, Berjaya Times Square dan LaLaport BBCC. Ini kerana hotel ini menyediakan akses terus kepada salah satu kawasan paling dinamik di ibu negara.

Hotel ini menampilkan 210 bilik yang mana setiap bilik dilengkapi katil bersaiz XL king, tingkap dinding-ke-dinding, bilik mandi dengan tiang mandian (shower rain) dan MoodPad — tablet kawalan yang membolehkan tetamu menyesuaikan pencahayaan, suhu dan hiburan mengikut keperluan individu.

Kemudahan lain termasuk canteenM, sebuah bar dan dapur yang beroperasi 24 jam, ruang lobi berkonsepkan ruang tamu yang dihias dengan perabot Vitra dan seni kurasi, serta ruang kerja bersama yang direka untuk menyokong produktiviti.
Bagi tujuan mesyuarat dan acara kecil, terdapat tiga bilik SocietyM yang menawarkan suasana kreatif, termasuk sebuah bilik gaya teater yang boleh memuatkan sehingga 40 tetamu.
Reka bentuk dalaman hotel turut menampilkan elemen seni seperti siling bercat, permaidani berinspirasikan flora serta sentuhan kehijauan yang mempamerkan keindahan alam Malaysia.

Menurut citizenM, penggabungan mereka bersama Marriott Bonvoy menjadikan ahli Marriott Bonvoy kini boleh memperoleh dan menebus mata ganjaran ketika menginap di citizenM Kuala Lumpur Bukit Bintang. Tetamu turut boleh menikmati kadar ahli eksklusif, faedah status elit serta kemudahan tempahan mudah melalui laman web Marriott.com dan aplikasi Marriott Bonvoy.
Melalui platform ini juga, pengembara dapat mengakses lebih 30 jenama hotel dan lebih 10,000 destinasi di seluruh dunia.