All-New PROTON SAGA 2025 Dijual Pada Harga Bermula RM38,990

November 27, 2025
Automotif

Bat

Proton hari ini secara rasminya melancarkan model terbaharu mereka, iaitu All-New Proton Saga 2025, yang bakal ditawarkan kepada pengguna tempatan bermula RM38,990. Model ini menampilkan pelbagai penambahbaikan dari segi prestasi, teknologi dan keselamatan – sebuah model yang bukan sekadar dikemas kini, tetapi direka semula sepenuhnya hasil tangan jurutera dan pereka tempatan.

Menariknya, inilah kali pertama dalam sejarah Proton sebuah model dibangunkan sepenuhnya oleh bakat Malaysia, dengan sokongan teknikal daripada Geely.

Untuk pengetahuan anda, terdapat 3 varian yang ditawarkan iaitu Premium, Executive, dan Standard.

Antara ciri terbaharu yang diperkenalkan termasuklah sistem infotainment dwi-skrin bersepadu 16 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta ciri seperti lampu utama automatik dan fungsi Follow-Me-Home yang menambah kemudahan seharian.

Dari aspek keselamatan, All-New Proton Saga 2025 kini menggunakan platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang direka untuk memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, serta dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 yang menawarkan sembilan fungsi keselamatan pintar termasuk Intelligent High Beam Control (IHBC), Door Opening Warning (DOW), Autonomous Emergency Braking (AEB), dan Lane Change Assist (LCA).

Model ini juga disokong oleh enjin i-GT 1.5 liter baharu bersama transmisi CVT, menjana 120hp dan 150Nm, yang jauh lebih bertenaga berbanding model sebelumnya. Penggunaan bahan api juga dikatakan lebih baik berbanding model sebelumnya iaitu sekitar 4.9L/100 km (MDC).

Proton turut menggunakan lampu utama projektor LED penuhlampu belakang LED penuh serta gril hadapan bermotifkan sulaman songket sama seperti Proton X50 2025. Pada bahagian tayar, Proton Saga baharu ini menggunakan rim aloi dua tona bersaiz 15 inci.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan All-New Proton Saga serba baharu ini, Proton turut memperkenalkan warna baharu iaitu Marine Blue dan Space Gray, yang melengkapkan barisan warna sedia ada seperti Ruby Red, Armour Silver, dan Snow White.

Pembelian All-New Proton Saga 2025 turut disertakan dengan manfaat selepas jualan menerusi pakej, iaitu:

  • Pakej Pro-Warranty:
    • 5 Tahun Waranti (150,000KM)
    • 3 Kali Servis Percuma
  • Pakej Pro-Trade-In:
    • Tambah Nilai (OVERTRADE)
    • Sokongan bernilai sehingga RM1,500 (Sah sehingga 31 Disember 2025)
  • Pakej Pro-Xchange:
    • Tambah Nilai (OVERTRADE)
    • Sokongan bernilai sehingga RM2,000 (Sah sehingga 31 Disember 2025)
  • Pakej Pro-Finance:
    • Kadar faedah serendah 2.6% (Sah sehingga 31 Disember 2025)
  • Pakej Pro-Shield:
    • Tawaran insurans menerusi Program Insurans PROTON

Sempena pelancarannya hari ini, Proton menawarkan harga promosi – RM1,000 rebat untuk semua variasi (Sah sehingga 31 Disember 2025).

Harga jualan untuk setiap varian (harga selepas rebat)

  • 1.5 Standard – RM37,990
  • 1.5 Premium – RM43,990
  • 1.5 Executive – RM48,900

Dengan harga permulaan bermula RM38,990, All-New Proton Saga 2025 bukan sahaja tampil lebih berteknologi dan berkuasa, malah menawarkan nilai tambah yang sukar ditandingi dalam segmennya.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana pusat pameran Proton yang berdekatan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd