Perodua QV-E Kini Rasmi Dijual Pada Harga RM80,000 – Kereta EV Pertama Buatan Malaysia
Lina Rosli
Perodua secara rasminya memperkenalkan kenderaan elektrik pertama mereka iaitu Perodua QV-E pada harga RM80,000.
Untuk pengetahuan anda, Perodua QV-E ini merupakan kenderaan elektrik buatan Malaysia yang pertama yang menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti 52.5kW – yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 445km (NEDC). Jarak ini dipengaruhi pelbagai faktor seperti gaya pemanduan, suhu dan keadaan jalan, namun ia tetap menjadikan QV-E antara model EV kompak yang menawarkan keupayaan praktikal untuk kegunaan harian.

Menurut Perodua, kenderaan elektrik mereka ini berjaya dibangunkan selepas 28 bulan – dengan sokongan kerajaan Malaysia.
Apa yang membezakan Perodua QV-E dengan model kenderaan elektrik yang lain adalah pengenalan konsep Battery as a Service, di mana bateri ditawarkan secara sewaan bagi mengurangkan kebimbangan kos pemilikan dan memastikan pelanggan menerima jaminan bateri sepanjang hayat.
Uuntuk model ini, harga sewaan bateri adalah RM275 setiap bulan.
Model ini juga hadir dengan ciri keselamatan generasi baharu termasuk sistem Child Presence Detection — teknologi yang mampu mengesan pergerakan halus dan tanda vital seperti bunyi pernafasan di tempat duduk belakang.
Sistem ini turut berfungsi walaupun objek atau kanak-kanak dilitupi selimut atau fabrik lain, seterusnya mengurangkan risiko tertinggalnya kanak-kanak atau haiwan peliharaan di dalam kenderaan.
Menurut Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, setiap ciri pada QV-E dibangunkan melalui kajian terperinci oleh pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua, dengan tumpuan kepada fungsi moden, keselamatan serta keselesaan pengguna.
Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Perodua dilantik sebagai peneraju pembangunan ekosistem EV tempatan. Setakat ini, 52 syarikat tempatan menyertai rantaian pembekalan komponen QV-E, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 70 vendor menjelang 2030.

Untuk model QV-E ini, Perodua menyasarkannya kepada kepada pengguna kelas pertengahan, pemilik kereta kedua, serta mereka yang mahukan kenderaan ringkas untuk penggunaan harian dan perjalanan santai.
Bagi yang berminat, Perodua QV-E ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey dan boleh didapati di cawangan Perodua terpilih.