Continental Malaysia Memperkenalkan Waranti Sepanjang Hayat Untuk Perlindungan Tayar

December 9, 2025
Automotif

Lina Rosli

Continental Tyre Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap keselamatan dan ketahanan produk dengan melancarkan Waranti Pengilang Tayar Sepanjang Hayat, merangkumi semua tayar kereta penumpang, SUV dan 4×4 daripada jenama Continental, General Tire dan Viking.

Pengenalan waranti baharu ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi turut menegaskan keupayaan jenama dalam memenuhi piawaian pengeluaran yang tinggi.

Menurut Continental, waranti ini diperkenalkan bertujuan bagi menggantikan waranti pengilang lima tahun yang sebelum ini ditawarkan, dan kini diperluas untuk meliputi keseluruhan jangka hayat tayar.

Langkah ini selari dengan komitmen Continental terhadap mutu bahan, proses pembuatan serta keutuhan setiap tayarnya. Menurut Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, inisiatif tersebut melambangkan dedikasi syarikat dalam menghasilkan tayar yang bukan sahaja kukuh dan berprestasi tinggi, tetapi juga mampu memberikan jaminan menyeluruh kepada pelanggan.

Melalui waranti tersebut, pengguna dilindungi terhadap sebarang kecacatan pengilang sepanjang tempoh tayar digunakan. Namun, kerosakan yang berpunca daripada faktor luaran seperti tayar pancit, koyak, atau impak akibat keadaan jalan berada di luar skop perlindungan.

Menariknya, Waranti Pengilang Tayar Sepanjang Hayat ini turut berkuat kuasa secara retrospektif ke atas tayar layak yang dibeli sebelum pengumuman dibuat, sekaligus memberikan manfaat tambahan kepada pelanggan sedia ada.

Sebagai pelengkap kepada perlindungan pengilang, Continental juga mengekalkan Waranti Pelan Keyakinan untuk Kerosakan Jalan (Total Confidence Plan, TCP). Melalui pelan ini, pengguna mendapat perlindungan selama 12 bulan terhadap kerosakan yang disebabkan oleh risiko jalan yang tidak dijangka, tertakluk kepada pendaftaran pembelian melalui aplikasi Conti TCP.

Selain itu, Continental turut menegaskan bahawa pengguna tidak perlu bimbang mengenai tarikh pembuatan tayar, kerana gabungan waranti sepanjang hayat dan TCP menyediakan jaminan terhadap prestasi, kualiti dan kebolehpercayaan tayar untuk seluruh tempoh penggunaan.

Sebarang tuntutan waranti hanya akan diproses selepas pemeriksaan oleh wakil Continental yang diperakui atau pengedar sah, dengan jumlah bayaran balik dikira secara prorata berdasarkan kedalaman bunga tayar yang belum digunakan.

Dengan pengumuman ini, Continental mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan mobiliti yang dipercayai, menyampaikan perlindungan komprehensif kepada pemandu di Malaysia dan memastikan keselamatan berada pada tahap yang sewajarnya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd