Malaysia Antara Destinasi Dengan Laluan Penerbangan Akhir Tahun Termurah Di Asia

December 8, 2025
destinasi

Lina Rosli

Menjelang musim cuti akhir tahun, Agoda mengumumkan senarai laluan penerbangan domestik dan antarabangsa paling berpatutan di Asia berdasarkan data tempahan yang direkodkan antara 1 September hingga 19 November 2025 bagi perjalanan yang dijadualkan pada 20 hingga 31 Disember 2025.

Dan apa yang menarik, Malaysia muncul sebagai salah satu destinasi dengan tambang paling menjimatkan, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pelancong serantau.

Bagi segmen domestik, Malaysia berada dalam kelompok tiga pasaran paling mampu milik, dengan tambang bermula serendah RM37 untuk laluan Bario–Miri. Laluan ini bukan sahaja menawarkan pilihan perjalanan kos efektif, malah membuka peluang kepada pelancong untuk menikmati suasana tanah tinggi Sarawak, landskap sawah padi serta komuniti rumah panjang tradisional yang menjadi identiti budaya tempatan.

Untuk pengetahuan anda, Malaysia turut berkongsi kedudukan ini bersama Korea Selatan, yang mencatat laluan bajet Jeju–Seoul. Manakala Thailand mendahului senarai dengan laluan Udon Thani–Bangkok pada harga serendah RM25.

Dalam kategori penerbangan antarabangsa, Malaysia sekali lagi tersenarai sebagai antara destinasi paling mesra bajet. Laluan Johor Bahru–Phuket yang bermula pada harga RM103 meletakkan Malaysia sebaris dengan Indonesia, yang turut menawarkan tambang serupa untuk laluan Pontianak–Kuching.

Kedua-dua laluan ini membuka peluang percutian ke destinasi tropika dan kawasan hijau semula jadi yang menjadi pilihan ketika musim perayaan. Thailand pula berada di tempat kedua, dengan laluan Krabi–Kuala Lumpur pada harga RM115.

Senarai laluan paling berpatutan turut merangkumi Korea Selatan (RM132), Jepun (RM161), Taiwan (RM46), Vietnam (RM190) dan India (RM301).

Menurut Agoda, musim cuti akhir tahun merupakan tempoh perjalanan paling sibuk bagi kebanyakan individu, khususnya untuk mereka yang ingin pulang bertemu keluarga atau menikmati percutian yang dirancang sepanjang tahun. Oleh yang demikian, Agoda komited dalam menyediakan rangkaian penerbangan dan pilihan perjalanan mesra bajet bagi memastikan pelanggan memperoleh nilai terbaik tanpa menjejaskan pengalaman percutian mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd