Secret Recipe Memperkenalkan Menu Kek Baharu – Thai Milk Tea Cake
Lina Rosli
Secret Recipe memperkenalkan pencuci mulut terbaharu mereka, Thai Milk Tea Cake, yang mengambil inspirasi daripada minuman teh susu Thai yang sememangnya digemari ramai.
Untuk hidangan ini, ia hadir dalam saiz 6 inci yang mana ia dirumus dengan gabungan rasa teh yang aromatik serta tekstur krim yang lembut bagi memberikan pengalaman menikmati pencuci mulut yang lebih memuaskan.

Menurut Secret Recipe, Thai Milk Tea Cake ini menampilkan lapisan kek span yang direndamkan dengan teh, dipadankan bersama krim Chantilly, krim mascarpone berperisa teh susu Thai dan sapuan teh susu Thai untuk menghasilkan profil rasa yang seimbang.
Kemudian, pada bahagian luar kek pula, ia hadir dengan salutan sadur (glaze) teh susu Thai, memberikan kemasan yang licin serta mengekalkan intensiti rasa teh yang menjadi daya tarikannya.
Bagi yang berminat, Thai Milk Tea Cake ini boleh didapati dalam dua pilihan iaitu kek penuh pada harga RM105 dan potongan pada harga RM13.50 — dan kini tersedia di semua cawangan Secret Recipe di Semenanjung Malaysia.

Dengan pelancaran Thai Milk Tea Cake, Secret Recipe terus memperluaskan pilihan pencuci mulut berasaskan teh yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna tempatan.
Kehadirannya menawarkan alternatif baharu kepada pelanggan yang ingin menikmati rasa teh susu Thai dalam bentuk hidangan yang lebih indulgent dan moden.