Leapmotor B10 Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM107,800
Lina Rosli
Stellantis Malaysia secara rasmi memperkenalkan Leapmotor B10, sebuah SUV elektrik segmen-C yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha strategik Leapmotor International untuk meluaskan kehadiran global mereka.
Sebagai model global ketiga selepas T03 dan C10, B10 menandakan komitmen jenama ini untuk menawarkan inovasi elektrifikasi berteknologi tinggi pada harga yang lebih mudah diakses oleh pengguna di Malaysia dan rantau sekitarnya.


Dari segi reka bentuk, Leapmotor B10 menampilkan pendekatan estetik yang minimalis tetapi futuristik, diinspirasikan oleh elemen kosmik. Garis pinggang “cloudtrail”, permainan cahaya pada rekaan “Star Ring” di fender serta bentuk badan yang dibentuk secara aerodinamik memberi identiti visual yang moden dan elegan.

Ia turut hadir dengan lampu utama LED penuh dipadankan dengan lampu siang DRL bercorak bendera, manakala bahagian belakangnya digayakan dengan lampu LED merentasi keseluruhan bampar.
Menurut Leapmotor, model ini dibina berasaskan seni bina LEAP3.5 yang mana ia menggunakan platform Cell-to-Chassis (CTC) 2.0+ yang mengintegrasikan bateri terus ke dalam struktur casis. Pendekatan ini menghasilkan ketegaran kilasan yang lebih tinggi, pusat graviti yang rendah serta pengagihan berat hampir sempurna antara bahagian depan dan belakang.

Dari segi prestasi, Leapmotor B10 hadir dengan keupayaan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 8 saat – selain turut dilengkapi dengan keupayaan pengecasan pantas untuk baterinya yang mana ia boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang 20 minit.

Selain itu, Leapmotor B10 ditawarkan dalam dua konfigurasi bateri. Varian LIFE menggunakan bateri 56.2 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 361 kilometer mengikut kitaran WLTP, manakala varian DESIGN dilengkapi bateri 67.1 kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 434 kilometer.

Kedua-duanya menyokong pengecasan AC 11 kW serta fungsi V2L sehingga 3.3 kW bagi membolehkan pengguna menghidupkan peralatan elektrik luaran ketika diperlukan.
Ruang dalaman model ini direka untuk memberikan suasana yang moden dan selesa. Bahagian kabin menampilkan skrin inforia 14.6 inci yang menggunakan Leap OS 4.0 Plus, digerakkan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155 bagi memastikan tindak balas paparan yang lancar.

Sistem ini turut menyokong kemaskini perisian secara OTA serta akan menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto bermula Januari 2026.
Bagi pemandu, ia dilengkapi dengan skrin instrumen 8.8 inci disediakan untuk paparan maklumat yang jelas, manakala kamera 360 darjah membantu dalam situasi parkir atau ketika bergerak di ruang sempit.

Memasuki bahagian dalaman, Leapmotor B10 turut memperlihatkan penekanan pada aspek premium. Ia menggunakan kemasan yang diperbuat daripada daun buluh pada panel, pencahayaan ambien, serta tempat duduk dengan pelarasan kuasa menambah keselesaan pemanduan.
Varian DESIGN hadir dengan bahan silikon OEKO-Tex Standard 100 yang lebih lembut dan mesra kulit. Ruang penyimpanan juga amat praktikal dengan 22 kompartmen berbeza, selain ruang but 430 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Dalam aspek keselamatan, Leapmotor B10 meraih penarafan lima bintang Euro NCAP dengan skor 93 peratus bagi perlindungan penumpang dewasa dan kanak-kanak. Model ini dilengkapi tujuh beg udara serta rangkaian 17 sistem bantuan pemandu termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Autonomous Emergency Braking, Rear Cross Traffic Braking dan pelbagai ciri lain yang menyokong pemanduan autonomi Tahap 2.
Untuk pasaran Malaysia, Leapmotor B10 ditawarkan pada harga bermula RM107,800 untuk varian LIFE dan RM118,800 untuk varian DESIGN – turut hadir dengan lima pilihan warna termasuk Metallic Black, Light White, Tundra Grey, Dawn Purple dan warna baharu yang ikonik iaitu Starry Night Blue yang diinspirasikan daripada karya Van Gogh Starry Night over the Rhone.
Untuk tempoh promosi ini, Leapmotor turut menawarkan diskaun menarik iaitu pembeli terawal boleh mendapatkan Leapmotor B10 LIFE pada harga hanya RM99,800 dan B10 DESIGN pada harga hanya RM109,800.

Pembeli turut menerima jaminan kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 kilometer serta jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.

Dengan kombinasi teknologi moden, rekaan yang menarik dan penekanan pada nilai mampu milik, Leapmotor B10 berpotensi menjadi salah satu model SUV elektrik paling kompetitif dalam segmennya. Pelancarannya bukan sahaja memperluas pilihan EV di Malaysia, malah turut mengukuhkan usaha industri automotif tempatan ke arah mobiliti yang lebih lestari dan berteknologi tinggi.