Perbezaan Antara Cucur, Cekodok Dan Jemput-Jemput

December 22, 2025
fakta menarik

Bat

Apabila memikirkan tentang hidangan minum petang di Malaysia, pasti kuih-muih tradisional seperti cucur, cekodok atau jemput-jemput terlintas di fikiran.

Ketiga-tiga kuih ini kelihatan serupa kerana semuanya digoreng dan mempunyai asas adunan tepung. Namun begitu, masih ramai yang keliru dan tertanya-tanya apakah sebenarnya perbezaan ketiga-tiganya.

Ada yang menganggap ia adalah sejenis kuih yang sama, dan ada pula yang beranggapan tidak. Untuk memahami perbezaannya, Tajria hari ini akan merujuk dahulu perbezaan dari segi definisi menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat.

#1 Cucur

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cucur merujuk kepada kuih yang diperbuat daripada tepung dan air bersama bahan-bahan lain yang digoreng. Definisi ini menunjukkan bahawa cucur ialah istilah umum untuk pelbagai kuih goreng yang berasaskan adunan tepung.

Cucur boleh hadir dalam pelbagai variasi, sama ada cucur bawang, cucur udang atau cucur sayur.

Selagi hidangan ini diperbuat daripada campuran tepung dan bahan tambahan yang digoreng, ia akan tergolong di dalam kategori cucur.

#2 Cekodok

Apa pula yang didefinisikan sebagai cekodok?

Berdasarkan definisi di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, cekodok diiktirafkan sebagai sejenis cucur yang menggunakan adunan tepung dan pisang sebagai bahan utama sebelum digoreng. Ini bermakna cekodok ialah istilah khusus bagi cucur pisang.

Semua cekodok adalah cucur, tetapi tidak semua cucur boleh dipanggil cekodok kerana syaratnya mesti menggunakan pisang.

Jadi apabila seseorang menyebut cekodok, ia merujuk kepada kuih yang berasaskan pisang semata-mata.

#3 Jemput-Jemput

Dan akhir sekali adalah jemput-jemput – yang mana ia adalah panggilan lain untuk cucur, sama ada cucur bawang, cucur sayur dan lain-lain. Namun, jika dibandingkan dengan cucur, kebiasaannya jemput-jemput kelihatan sedikit lebih bulat dan gebu.

Sama seperti cucur, jemput-jemput turut merujuk kepada sejenis kuih yang dihasilkan daripada adunan tepung yang diambil secara jemput atau sedikit-sedikit sebelum digoreng di dalam minyak.

Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘jemput’ (selain daripada mengajak atau mengundang) ini merujuk kepada perbuatan mengambil dengan hujung jari.

Maka tidak hairanlah untuk kebanyakan jemput-jemput, ia menampilkan bentuk adunan yang berbagai dan tidak konsisten disebabkan oleh perbuatan ‘menjemput’.

Jadi, jikalau memakan kuih berinti pisang mahupun inti udang, anda boleh memanggilnya jemput-jemput pisang ataupun jemput-jemput udang.

Secara keseluruhan, perbezaan istilah-istilah ini menunjukkan betapa kayanya bahasa Melayu dalam menggambarkan makanan tradisionalnya.

Walaupun kelihatan hampir serupa, setiap nama mempunyai maksud yang berbeza – ketiga-tiga kuih ini tetap menjadi kegemaran orang ramai saat minum petang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd