LEGOLAND Malaysia Terus Mengukuhkan Kedudukan Sebagai Destinasi Keluarga Terunggul Di Asia
Lina Rosli
LEGOLAND Malaysia Resort terus memperkukuh reputasinya sebagai salah satu destinasi percutian keluarga paling lengkap di rantau ini dengan pelbagai penambahan dan pembaharuan menarik.
Menggabungkan kreativiti LEGO, teknologi interaktif serta pengalaman mesra keluarga, destinasi ini menawarkan sesuatu yang istimewa buat pengunjung daripada pelbagai peringkat usia, khususnya keluarga dan peminat tegar LEGO.

Antara tarikan terbaharu yang mencuri perhatian ialah pembukaan LEGO Ferrari Build & Race, yang merupakan yang pertama seumpamanya di Asia.
Pengalaman ini membawa pengunjung menyelami dunia Ferrari melalui binaan LEGO berskala sebenar Ferrari F50, yang mana pengunjung bukan sahaja boleh bergambar, malah berpeluang duduk di dalamnya. Aktiviti diteruskan dengan sesi membina kereta Ferrari versi LEGO, mengujinya di trek interaktif dan menyaksikan rekaan tersebut berfungsi secara digital dalam Virtual Race Zone yang menampilkan litar maya dengan pelbagai keadaan cuaca.

Bagi kanak-kanak lebih kecil, zon binaan DUPLO turut disediakan bagi memastikan pengalaman yang inklusif untuk semua peringkat umur.
Sempena musim perayaan, LEGOLAND Malaysia memperkenalkan Brick-tacular Holidays dengan tema “Once Upon a Christmas”. Sambutan ini diserikan dengan pembinaan LEGO Holiday Tree baharu yang menggunakan lebih 315,583 bongkah LEGO dan mengambil masa lebih 1,800 jam untuk disiapkan.
Keseluruhan taman tema berubah menjadi dunia perayaan yang penuh cahaya, menampilkan persembahan pentas, sesi pertemuan bersama karakter LEGO, bengkel kreatif serta aktiviti binaan interaktif yang menghidupkan suasana perayaan dengan pendekatan yang unik dan kreatif.


Pengalaman pengunjung turut diperkaya melalui SEA LIFE Malaysia, iaitu akuarium interaktif bertemakan LEGO yang pertama di negara ini. Merangkumi 11 zon berbeza, pengunjung dapat meneroka kehidupan marin daripada obor-obor bercahaya hingga ke terowong laut yang ikonik.
Pada musim perayaan, SEA LIFE Malaysia menampilkan tema “Merry Fish-mas” dengan dekorasi dan aktiviti bermusim yang memberikan sentuhan perayaan dalam persekitaran bawah laut.
Bagi mereka yang ingin berehat daripada cuaca panas tropika, LEGOLAND Water Park menawarkan pelbagai aktiviti air yang sesuai untuk seisi keluarga. Daripada gelongsor mencabar dan Build-A-Raft River hinggalah ke kolam ombak serta DUPLO Splash Safari untuk kanak-kanak, taman air ini menjadi pelengkap sempurna kepada pengalaman percutian yang menyeluruh.

MINILAND pula kekal sebagai antara tarikan paling ikonik, memaparkan lebih 30 juta bongkah LEGO yang membentuk mercu tanda terkenal Asia seperti Menara Berkembar Petronas dan Taj Mahal. Versi
Bukan itu sahaja, MINILAND Singapore yang diperbaharui menampilkan elemen interaktif baharu termasuk replika Marina Bay Sands setinggi empat meter, Air Pancut Merlion yang menyemburkan air serta One-Table-Left Race yang menghiburkan.


Taman Bunga LEGO turut menambah elemen visual yang menarik dengan binaan bunga berwarna-warni dan lokasi bergambar yang kreatif.
Selain itu, LEGOLAND Malaysia menawarkan pelbagai permainan dan tunggangan untuk semua peringkat usia, termasuk LEGO NINJAGO The Ride yang menggunakan teknologi 4D interaktif, serta The Dragon dan The Great LEGO Race, iaitu roller coaster realiti maya LEGO yang pertama di dunia.
Pengalaman ini dilengkapi dengan zon permainan bertema, stesen binaan LEGO dan tayangan 4D di LEGO Studio.
Bagi pengunjung yang ingin melanjutkan pengalaman percutian, penginapan di LEGOLAND Hotel menawarkan bilik bertema seperti NINJAGO, Adventure, Kingdom, Pirate dan Friends. Setiap bilik direka dengan elemen interaktif, aktiviti pencarian harta karun serta kejutan LEGO yang menjadikan pengalaman menginap sama menarik seperti lawatan ke taman tema itu sendiri.

Dengan kemudahan mesra keluarga termasuk bilik penjagaan bayi, penyewaan stroller, kawasan rehat berbumbung serta pilihan makanan mesra kanak-kanak, LEGOLAND Malaysia jelas direka untuk memberikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.
Gabungan tarikan kreatif, kemudahan lengkap dan pengalaman berasaskan imaginasi menjadikan LEGOLAND Malaysia sebagai destinasi percutian keluarga yang relevan dan bernilai untuk dikunjungi sepanjang tahun.