Perodua Melancarkan SUV Baharu, Traz Dijual Pada Harga Bermula RM76,100
Lina Rosli
Perodua secara rasmi telah melancarkan Perodua Traz, sebuah SUV segmen B 5‑tempat duduk yang direka khusus untuk pasaran Malaysia – yang mana ia dijual pada harga bermula RM76,100 sebuah.
Menurut Perodua, model SUV baharu ini dikuasakan oleh enjin 1.5L 4‑silinder 2NR‑VE yang dipadankan dengan D‑CVT, menghasilkan kuasa sekitar 105 hp dan 138 Nm tork.

Dari segi rekaan dalaman, Perodua Traz dilengkapi dengan ruang but kargo seluas 471 liter memberikan fleksibiliti bagi keperluan harian dan perjalanan keluarga.
Sementara untuk aspek keselamatan, Traz hadir dengan sistem keselamatan aktif yang direkayasa untuk bertindak balas terhadap situasi pemanduan secara masa-nyata. Ia dibahagikan kepada tiga komponen teras iaitu:
#1 Advanced Safety Assist (A.S.A) atau Bantuan Keselamatan Lanjutan
Sistem ini memfokuskan kepada pencegahan perlanggaran di kawasan bandar dan sesak. Ia merangkumi:
- Pre-Collision Warning & Braking – Mengesan risiko perlanggaran hadapan dan mengaktifkan brek secara automatik sekiranya tiada tindak balas daripada pemandu.
- Front Departure Alert – Memberi makluman bunyi apabila kenderaan di hadapan telah mula bergerak.
- Pedal Misoperation Control – Menyekat kuasa enjin sekiranya pedal minyak ditekan secara tidak sengaja menghadap dinding atau halangan.

#2 Driving Assist atau Bantuan Pemanduan
Direka untuk meningkatkan kestabilan dan kesedaran pemandu semasa di lebuh raya:
- Lane Departure Warning (LDW) & Prevent (LDP) – Memantau garisan jalan dan memberi bantuan stereng sekiranya kenderaan terkeluar dari laluan tanpa isyarat.
- Blind Spot Monitor (BSM) – Mengesan kenderaan yang berada di titik buta pemandu bagi memastikan penukaran lorong yang lebih selamat.
#3 Parking Assist atau Bantuan Parkir
Memudahkan pengendalian kenderaan di ruang sempit melalui teknologi sensor dan visual:
- 360° Panoramic View Monitor – Memberikan pandangan menyeluruh dari sudut atas kenderaan (tersedia pada varian terpilih).
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA) – Memberi amaran sekiranya terdapat kenderaan melintas di belakang semasa gear undur diaktifkan.

Melihat kepada ruang dalaman pula, model ini juga dilengkapi dengan skrin TFT 4.2 inci, bersama sistem inforia dengan saiz skrin sebesar 9 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan pendingin hawa belakang digital untuk varian H dan jenis butang dan tombol untuk varian X serta port USB‑C dan USB‑A bagi keselesaan pengguna.
Bagi pengguna yang mementingkan keselesaan dan estetika premium, Perodua Traz varian H menawarkan ciri-ciri tambahan yang meningkatkan nilai eksklusiviti kenderaan. Ini termasuk penawaran sistem pencahayaan seperti LED Fog Lamp untuk penglihatan lebih jelas dalam cuaca buruk dan Welcome Lamp yang menyala apabila pemandu menghampiri kenderaan, menambah sentuhan mewah.
Dari segi kemudahan, varian H dilengkapi Power Back Door with Motion Sensing untuk akses kargo tanpa tangan, Smart Entry yang responsif, serta Digital Video Recorder (DVR) bagi keselamatan dan dokumentasi perjalanan.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Perodua Traz baharu ini, ia hadir dalam tiga varian utama iaitu:
- Perodua Traz 1.5 X – RM76,100
- Perodua Traz 1.5 H – RM81,100
- Perodua Traz 1.5 H 2T – RM82,00
Selain itu, Perodua Traz ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Cranberry Red, Electric Blue dengan Black Roof, Glittering Silver, Ivory White, dan Granite Grey. SUV segmen B ini dijangka mula dihantar kepada pelanggan di Semenanjung Malaysia dengan segera – Perodua turut mensasarkan jualan 1,900 unit sebulan.


Dengan gabungan teknologi moden, keselamatan menyeluruh, dan ruang kabin luas, Perodua Traz ditawarkan sebagai alternatif praktikal di antara model Perodua Ativa dan SUV segmen B lain di pasaran. SUV ini sesuai untuk pengguna bandar yang mementingkan penjimatan bahan api tanpa mengorbankan keselesaan dan keselamatan.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman rasmi Perodua di www.perodua.com.my.