Big Bad Wolf 2025 Kini Berlangsung Di Sunway Pyramid Convention Centre – Menawarkan Buku Serendah RM3

December 19, 2025
Buku

Bat

Big Bad Wolf secara rasmi membuka tirai World’s Biggest Book Sale di Kuala Lumpur, menampilkan jutaan naskhah buku pada harga paling rendah setakat ini. Dengan harga buku bermula serendah RM3 dan judul ikonik seperti Harry Potter ditawarkan dari RM19.99, jualan kali ini menetapkan penanda aras baharu dari segi skala, nilai dan kebolehcapaian.

Seperti acara sebelum ini, Big Bad Wolf Book Sale menampilkan koleksi buku Inggeris yang luas dengan diskaun sehingga 90%, memberi peluang kepada pembaca untuk meneroka penulis dan genre baharu yang mungkin belum pernah mereka cuba sebelum ini.

Pelanggan boleh memilih daripada pelbagai genre termasuk fiksyen sains, thriller, sastera, perniagaan, buku masakan, seni dan reka bentuk, serta buku kanak-kanak – menjadikannya pengalaman unik bagi setiap pembaca.

Untuk pengetahuan anda, acara Big Bad Wolf ini telahpun dianjurkan hampir 16 tahun, iaitu sejak tahun 2009 oleh pengasas BookXcess, Andrew Yap dan Jacqueline Ng. Misi utama jenama ini adalah untuk memupuk tabiat membaca, meningkatkan literasi bahasa Inggeris di peringkat global, dan membina generasi pembaca baru dengan menjadikan buku lebih mampu milik dan mudah diakses untuk semua.

Selain pembelian buku, pengunjung boleh menikmati pelbagai pengalaman interaktif dan promosi di lokasi jualan, termasuk rebat pelanggan setia, keistimewaan untuk pelajar dan guru, koleksi harga rata RM10, tawaran buku RM3, serta aktiviti seperti Cabaran Big Bad Book Stacker, pengalaman blind date with a book, dan zon penemuan terpilih.

Bagi yang berminat untuk berkunjung ke acara ini, Big Bad Wolf Book Sale 2025 kini berlangsung dari 17 Disember 2025 sehingga 4 Januari 2026, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 pagi setiap hari dan bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre. Kemasukan adalah percuma.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd