Terokai Keunikan Warisan Budaya Malaysia Menerusi Panduan Digital Heritage Guide To Kuala Lumpur
Lina Rosli
Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia apabila data terkini Airbnb menunjukkan peningkatan tempahan penginapan tahun ke tahun pada separuh pertama 2025.
Untuk pengetahuan anda, Kuala Lumpur muncul sebagai bandar paling banyak ditempah di Malaysia, manakala destinasi berteraskan warisan seperti Pulau Pinang, Melaka dan Kuching turut kekal menjadi pilihan pelancong domestik serta antarabangsa.

Selari dengan perkembangan ini dan aspirasi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Airbnb dengan kerjasama Think City telah melancarkan Heritage Guide to Kuala Lumpur, sebuah panduan digital yang menonjolkan kekayaan warisan, seni bina dan komuniti kreatif bandar raya ini menerusi inisiatif Warisan KL.
Terokai Heritage Guide to Kuala Lumpur Airbnb di sini.
Berikut ialah antara lokasi menarik dan sorotan utama bagi Heritage Guide to Kuala Lumpur yang merangkumi kawasan bersejarah, hab budaya, gastronomi tempatan serta individu yang menghidupkan kisah Kuala Lumpur.
Mercu Tanda Warisan Yang Membentuk Asal-Usul Kuala Lumpur
Bagi anda yang tiba di tengah bandar metropolitan, pastikan anda tidak ketinggalan berkunjung ke tapak-tapak penting yang menjadi asas sejarah dan pembangunan awal Kuala Lumpur, khususnya di kawasan Civic Precinct. Antara lokasi yang boleh diterokai termasuklah:
- Dataran Merdeka yang telah menjadi simbol kemerdekaan negara di mana ia adalah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan dan Jalur Gemilang dinaikkan buat pertama kali pada 31 Ogos 1957.
- River of Life pula merupakan sungai pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak yang dahulunya nadi perdagangan awal Kuala Lumpur. Ia kini telah dipulihkan sebagai kawasan tebing sungai yang lebih lestari dan mesra pengunjung.

- Medan Pasar pula adalah tapak pasar utama pada era awal bandar yang menampilkan menara jam 1937 yang dibina sempena pertabalan Raja George VI. Apa yang menarik, bangunan di sekitarnya dibina menggunakan bata daripada relau Kapitan Yap Ah Loy.
- Masjid Jamek (1908) adalah masjid yang direka oleh A.B. Hubback. Bagi yang ingin berkunjung, masjid ini terletak di tapak perkuburan Muslim pertama di Kuala Lumpur dan kekal sebagai mercu tanda keagamaan penting di Malaysia.

Ruang Budaya & Kreatif Yang Menampilkan Bangunan Lama Yang Diberi Nafas Baharu
Selain berkunjung ke lokasi mercu tanda Malaysia yang ikonik, anda turut jangan lepaskan peluang untuk melawat dan berkunjung ke lokasi ruang budaya dan kreatif di Kuala Lumpur. Ia menyaksikan variasi jenis seni dan budaya yang boleh diterokai oleh lapisan masyarakat. Antaranya adalah:

- Kwai Chai Hong yang merupakan lorong bersejarah di Chinatown. Lorong ini hadir dengan lukisan mural menggambarkan kehidupan masyarakat Kuala Lumpur sekitar era 1960-an.
- REXKL pula adalah pawagam lama yang kini berfungsi sebagai hab sosial, menempatkan kedai buku, kolektif reka bentuk dan ruang seni.
- Zhongshan Building menampilkan deretan rumah kedai era 1950-an. Ia kini menjadi kluster seni bebas dan ruang kreatif yang terletak di Kampung Attap.
- GMBB hadir sebagai ruang untuk komuniti yang ingin menerokai seni tempatan. Ia merupakan sebuah bangunan bertingkat yang mengetengahkan kumpulan seni tradisional seperti wayang kulit, kraf tangan dan banyak lagi.


- N by UR-MU, Jalan Tun H.S. Lee pula terletak di dalam sebuah rumah kedai lama di kawasan Chinatown, N by UR-MU merupakan galeri berskala kecil tetapi berkarakter, yang mempertemukan warisan seni bina dengan ekspresi seni kontemporari. Ruang ini berfungsi sebagai platform dialog antara sejarah dan karya moden, sekali gus menambah dimensi baharu kepada landskap seni bandar Kuala Lumpur.
- Museum of Science, Arts and Innovation for Children (MoSAIC), muzium kanak-kanak pertama di Malaysia yang menekankan pembelajaran sains, kreativiti dan inovasi.
- Jao Tim dahulunya adalah rumah kedai yang kini dipulihkan dan bertukar wajah menjadi ruang muzik jazz dan blues pada waktu malam.
- Riwayat Bookstore menampilkan karya sastera dan buku-buku khusus dari Asia Tenggara. Kedai buku ini terletak di Jalan Tun H.S. Lee, menjadi ruang intelektual dan diskusi budaya.


Jejak Rasa & Dagangan Tradisi Di Heritage & Trade Quadrant
Tidak lengkap penerokaan seni dan budaya tanpa menikmati dan mencuba makanan dan minuman yang ikonik di Malaysia. Untuk mendapatkannya, anda boleh berkunjung ke:
- Central Market yang hadir dengan pilihan makanan dan minuman yang variasi untuk dicuba termasuklah Teh Chambi dan putu bambu. Bagi yang tidak mengetahui, Central market atau Pasar Seni ini sebenarnya bermula sebagai pasar basah pada tahun 1888, kini menjadi pusat seni dan kraf dengan pengaruh seni bina Art Deco.
- Earth Heir adalah butik diperakui B Corp yang menyokong artisan pribumi dan komuniti pelarian melalui produk beretika.
- Kafei Dian merupakan kafe yang terletak di bangunan bekas pejabat pos 1911, terkenal dengan hidangan ayam goreng Hainan, kaya toast dan kopi klasik.
- Betel Leaf menawarkan pilihan masakan Chettinad dari India Selatan. Jika anda ingin mencubanya, ia terletak di tingkat atas bangunan Chinatown.

- Warong Old China & Limapulo Terrace pula adalah restoran atau kedai makan yang memfokuskan kepada penawaran menu masakan Peranakan dengan resipi tradisional dan suasana bangunan pra-perang.
- Triptyk menampilkan hidangan berinspirasikan Indochina (turut menyajikan alkohol).
- Pucks Coffee juga boleh diterokai para peminat kopi. Ia adalah kafe tersembunyi yang menawarkan suasana tenang serta pastri segar, menjadi ruang rehat di tengah kesibukan bandar.



Individu Yang Menghidupkan Kisah Kuala Lumpur
Seterusnya, sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang kota raya Kuala Lumpur, Heritage Guide to Kuala Lumpur ini turut menekankan bahawa cara terbaik untuk mengenali Kuala Lumpur adalah melalui perspektif penduduk tempatan yang menghidupkan kisah bandar ini.
- Tey Chin Lea merupakan seorang oemandu pelancong berlesen yang menghubungkan sejarah bandar dengan budaya sarapan tempatan seperti teh tarik dan kopitiam.
- Ted merupakan ahli fotografi yang menonjolkan kontras antara pencakar langit moden dan bangunan lama bandar.
- Manjeet Dillon berkerja sebagai penggiat budaya makanan melalui pengalaman Culture on a Plate, yang mengaitkan sejarah Malaysia dengan hidangan tradisional.
- Ellina adalah hos bagi Classic Heritage Loft House yang memelihara rumah kayu antik sebagai contoh seni bina dan pertukangan tradisional.

Kuala Lumpur Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026
Menurut data Airbnb, pelancongan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada separuh pertama 2025, manakala pasaran antarabangsa seperti Singapura, China, Indonesia, Amerika Syarikat dan Perancis terus menyumbang kepada peningkatan tempahan, dengan Perancis merekodkan kadar pertumbuhan tertinggi.
Trend pelancongan solo yang semakin meningkat serta perjalanan berkumpulan berskala besar turut membuka peluang kepada penginapan berasaskan komuniti dan penyertaan lebih luas dalam ekonomi tempatan.

Secara keseluruhan, Heritage Guide to Kuala Lumpur mencerminkan bagaimana pemeliharaan warisan, kerjasama awam-swasta dan penglibatan komuniti mampu memperkayakan pengalaman pelancongan. Ia bukan sahaja mengangkat Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya yang dinamik, malah menyokong pembangunan pelancongan yang lebih bertanggungjawab dan mampan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Terokai Heritage Guide to Kuala Lumpur Airbnb di sini.