Pusat Perubatan Sunway Velocity Dan Samsung Malaysia Memperkasakan Penjagaan Kesihatan Melalui Samsung Galaxy Watch8

December 19, 2025
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Secara umumnya, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung dalam kalangan individu dilihat semakin meningkat. Ini adalah rentetan daripada gaya hidup yang kurang sihat, termasuk pengambilan makanan tinggi gula dan lemak, kurang aktiviti fizikal, tekanan harian yang tinggi, serta pendedahan kepada faktor persekitaran yang memburukkan risiko kesihatan.

Selain itu, peningkatan usia populasi dan kecenderungan genetik turut menyumbang kepada kadar NCD yang lebih tinggi, menjadikan penjagaan kesihatan pencegahan sebagai aspek yang semakin penting dalam mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.

Oleh yang demikian, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) bersama Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd kini hadir dalam memperkenalkan Pakej Saringan Kesihatan Galaxy Watch8, sebuah inisiatif yang menggabungkan teknologi pintar dan kepakaran perubatan untuk mendorong penjagaan kesihatan pencegahan di kalangan rakyat Malaysia.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, NCD menyumbang hampir 72% daripada semua kes kematian pramatang di negara ini. Dalam konteks itu, teknologi digital kini memainkan peranan penting dalam memantau tanda-tanda vital, menggalakkan gaya hidup aktif, dan mengesan risiko kesihatan secara awal.

Dan apa yang menarik, Malaysia dilihat menduduki kedudukan antara 10 negara teratas dari segi penggunaan jam tangan pintar, dengan peratusan penggunaan sebanyak 31.3%.

Untuk pengetahuan anda, Pakej Saringan Kesihatan Galaxy Watch8 menggabungkan data masa nyata daripada jam tangan pintar dengan interpretasi profesional perubatan SMCV – yang mana ini sekaligus memberikan pengguna pemahaman menyeluruh mengenai tahap kesihatan mereka.

Pakej ini ditawarkan pada harga RM1,600, dan termasuk:

  • Penilaian Kesihatan – Pemeriksaan sejarah kesihatan dan klinikal, berat badan, ketinggian, BMI, ujian penglihatan, saringan tekanan darah, ECG dan Analisis Komposisi Badan (BCA).
  • Ujian Darah – Ujian darah (Full blood count), kadar pemendapan eritrosit (ESR), pengelompokan darah (ABO & Rh), profil fungsi hati, profil fungsi buah pinggang, profil lipid, ujian fungsi tiroid, ujian gula dalam darah semasa berpuasa, HbA1C dan Vitamin D.
  • Ujian Radiologi & Diagnostik – X-ray dada, ujian ultrabunyi abdomen dan pelvis, ujian fungsi paru-paru serta ujian senaman tekanan jantung (stress test).
  • Penilaian Gaya Hidup & Kesejahteraan – Soal selidik kualiti tidur
  • Konsultasi – Penilaian keputusan ujian saringan oleh pegawai perubatan dan sesi konsultasi bersama ahli dietetik.

Dengan gabungan ujian ini, ia secara tidak langsung membolehkan pengguna menafsir data kesihatan daripada jam tangan pintar Galaxy Watch8 secara holistik, seterusnya membimbing mereka membuat keputusan proaktif untuk kesejahteraan jangka panjang.

Bersempena pelancaran pakej ini, SMCV dan Samsung Malaysia melaksanakan kempen eksklusif dari 17 Disember 2025 hingga 28 Februari 2026, menawarkan pakej saringan kesihatan dan jam tangan pintar Galaxy Watch8 secara percuma kepada pembeli awal, selain promosi diskaun terbatas bagi pelanggan SMCV dan Samsung.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pakej Saringan Kesihatan Galaxy Watch8, anda boleh lawati laman web edagang SMCV.

Maklumat lanjut mengenai jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch8 boleh diperoleh di www.samsung.com.my.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd