Lapisan Patisserie Buka Cawangan Baharu Di Hextar World Dan Melawati Mall
Lina Rosli
Berita baik buat pencinta pastri di Lembah Klang. Lapisan Patisserie kini terus meluaskan sayapnya dengan pembukaan dua cawangan baharu di lokasi strategik iaitu Hextar World di Empire City, Petaling Jaya serta Melawati Mall, Kuala Lumpur.
Mengambil masa setahun sejak pelancarannya, jenama patisserie berinspirasikan Perancis ini kini sudah pun mempunyai empat cawangan, sekaligus menjadikan hidangan pastri istimewanya lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Cawangan ketiga Lapisan Patisserie di Hextar World dan cawangan keempat di Melawati Mall dipilih dengan teliti, dikelilingi gabungan runcit, makanan dan hiburan yang pelbagai.
Kehadiran di dua pusat beli-belah ini bukan sahaja mendekatkan Lapisan Patisserie dengan peminat setia, malah turut memperkenalkan pastri istimewanya kepada pengunjung baharu yang sedang mencari hidangan manis berkualiti tinggi.

Bagi meraikan pembukaan ini, Lapisan Patisserie turut memperkenalkan dua pastri baharu yang direka khas untuk memikat selera, iaitu Cinnamon Roll dan Choco Pistachio Petit Cake.
Kedua-dua pilihan ini menawarkan pengalaman rasa berbeza, sesuai untuk dinikmati sendiri atau dikongsi bersama insan tersayang, terutamanya pada musim perayaan dan cuti hujung tahun.


Bagi yang berminat, pastri Cinnamon Roll ini ditawarkan pada harga RM9.20. Ia merupakan pastri mentega berlapis yang lembut dan harum, dipintal rapi dengan inti kayu manis yang wangi. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapkan dengan hiasan biskut berbentuk kepingan salji di bahagian atas.
Hidangan ini ditawarkan untuk masa terhad dan sesuai dijadikan penutup manis bagi tahun yang bakal berakhir.
Sementara itu, Choco Pistachio Petit Cake (RM18) pula tampil sebagai pilihan pencuci mulut yang lebih moden dan mewah. Kek coklat bersalut pistachio ini disusun berlapis dengan mousse biskut coklat, krim Bavarian pistachio yang lembut, dan dihiasi kacang pistachio rangup di atasnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Lapisan Patisserie serta promosi akan datang, anda boleh mengikuti halaman Facebook dan Instagram rasmi Lapisan Patisserie di @lapisanmy.