Adakah Kopi Menyebabkan Dehidrasi?
Lina Rosli
Dengan aroma yang menenangkan dan kesan kafein yang menyegarkan, tidak hairanlah kopi kekal sebagai antara minuman paling popular di dunia. Namun begitu, persoalan sama ada kopi boleh menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi masih sering dibangkitkan, terutamanya apabila ia diambil dalam jumlah yang banyak.
Menurut pakar pemakanan, kesan kopi terhadap tahap hidrasi tubuh sebenarnya tidaklah seteruk seperti yang sering disangka. Walaupun kopi mengandungi kafein yang bersifat diuretik iaitu merangsang pengeluaran air melalui air kencing—kesan tersebut bergantung kepada tahap toleransi individu terhadap kafein.

Bagi mereka yang kerap minum kopi, tubuh lazimnya telah menyesuaikan diri dengan pengambilan kafein secara konsisten. Keadaan ini menyebabkan kesan diuretik menjadi minimum dan tidak memberi kesan ketara terhadap keseimbangan air dalam badan.
Kajian turut menunjukkan bahawa pengambilan sekitar dua hingga empat cawan kopi bersaiz sederhana sehari tidak menjejaskan hidrasi secara signifikan dalam kalangan peminum kopi tegar.
Malah, untuk mencetuskan dehidrasi yang benar-benar ketara, seseorang perlu mengambil kafein dalam jumlah yang sangat tinggi, iaitu melebihi 500 miligram sehari, bersamaan kira-kira enam cawan kopi atau lebih. Jumlah ini jauh melebihi pengambilan harian kebanyakan individu.

Kesan Kafein Mungkin Berbeza Ke Atas Individu Yang Jarang Minum Kopi
Sebaliknya, bagi individu yang jarang mengambil kopi, kesannya mungkin sedikit berbeza. Mereka berkemungkinan mengalami peningkatan pengeluaran air kencing dalam tempoh singkat selepas minum kopi.
Namun, kesan ini lazimnya bersifat sementara dan tidak membawa kepada dehidrasi yang serius, selagi pengambilan cecair harian mencukupi.
Pakar pemakanan juga menekankan bahawa individu yang menghentikan pengambilan kafein buat sementara waktu seperti ketika sakit atau dalam tempoh pemulihan disarankan untuk kembali minum kopi secara berperingkat.

Pendekatan ini dapat membantu mengurangkan ketidakselesaan tubuh, termasuk kesan seperti kerap membuang air kecil.
Walaupun kopi tidak menyebabkan dehidrasi secara langsung, ia tetap tidak seharusnya menggantikan pengambilan air kosong sepenuhnya. Air kekal sebagai sumber hidrasi utama yang paling efektif untuk tubuh.
Pengambilan Kopi Atau Kafein Pada Waktu Pagi Dan Malam
Sehubungan itu, kopi disarankan dinikmati selepas mengambil air kosong atau bersama makanan, memandangkan sifatnya yang berasid dan berpotensi menyebabkan ketidakselesaan perut.
Pengambilan kopi berhampiran waktu tidur juga tidak digalakkan, khususnya bagi individu yang sensitif terhadap kafein. Kesan rangsangan dan diuretik pada waktu malam boleh mengganggu kualiti tidur serta menyebabkan tubuh berasa kurang segar keesokan harinya.

Bagi peminat kopi tanpa kafein pula, walaupun ia masih mengandungi sedikit kafein, kesannya terhadap hidrasi adalah jauh lebih rendah berbanding kopi biasa. Namun, prinsip yang sama tetap terpakai yang mana anda masih perlu perhatikan tindak balas tubuh dan pastikan keperluan cecair harian dipenuhi.
Kesimpulannya, kopi tidak menyebabkan dehidrasi seperti yang sering digambarkan, terutamanya dalam kalangan individu yang sudah terbiasa mengambilnya.
Namun, keseimbangan kekal sebagai kunci utama. Mendengar isyarat tubuh, mengamalkan pengambilan air yang mencukupi serta menikmati kopi secara sederhana dapat membantu mengekalkan kesihatan dan hidrasi yang optimum.