Pengalaman Memandu Hyundai SANTA FE 1.6T-GDi Hybrid 2WD Prestige – SUV Dengan Rekaan Maskulin
Lina Rosli
Apabila bercakap tentang SUV keluarga moden, Hyundai SANTA FE 1.6T-GDi Hybrid 2WD Prestige muncul sebagai salah satu pilihan paling menarik. Dilancarkan sekitar bulan Jun 2025 yang lepas, SUV ini bukan sahaja menonjol dari segi reka bentuk dan gaya, tetapi juga praktikal dan mesra pengguna, terutamanya untuk mereka yang sering melakukan perjalanan jarak jauh, seperti pulang ke kampung.

Dalam pengalaman saya memandu SANTA FE ini, kenderaan ini membuktikan bahawa SUV bersaiz besar boleh ranggi, selesa, dan pada masa sama menjimatkan bahan api.
Sebelum itu, bercakap mengenai Hyundai SANTA FE baharu ini, Hyundai hadir dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin turbo 2.5L T-GDi (281 PS) dan varian hibrid 1.6L (235 PS). Dan untuk model yang saya cuba ini merupakan varian hibrid 1.6T.

Reka Bentuk Luaran – Tampil Lebih Ranggi Dan Moden
Pada pandangan pertama, Hyundai SANTA FE tampil sebagai SUV yang moden dan berani. Mana tidaknya, pada bahagian hadapan kereta, anda boleh melihat ia tampil dengan rekaan gril yang bold di samping menggunakan rekaan tubuh yang bersegi menjadikannya kereta yang cukup maskulin ketika berada di atas jalan raya.
Untuk saya sendiri, saya cukup menggemari gaya lampu yang yang ditampilkan oleh Hyundai pada model SANTA FE ini. Ia hadir dengan lampu ikonik baharu yang disusun menjadi bentuk ‘H’ yang melambangkan jenama Hyundai.

Cuma yang menjadi kurang menarik adalah rekaan belakang model ini, yang mana saya merasakan lampu yang ditampilkan adalah sedikit janggal – kerana ia diletakkan terlalu rendah atau sedikit ke bawah.
Apa yang menjadikannya lebih janggal lagi adalah lampu isyarat belok turut diletakkan selari dengan ketinggian nombor plat.
Mungkin ini adalah identiti baharu yang ingin diketengahkan Hyundai. Namun, mungkin proposi reka bentuk bahagian belakang kereta ini akan tampak lebih menarik sekiranya tipografi SANTA FE dikecilkan sedikit dan menggunakan ruang berkenaan untuk menempatkan lampu utama dan lampu isyarat belok.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan. bagi saya, reka bentuk luaran SANTA FE ini menandakan keseimbangan yang baik antara estetika dan fungsi. Bumbungnya sedikit condong ke belakang untuk imej sporty, tetapi ruang dalaman tetap luas. Dipadankan pula dengan warna Ocado Green baharu ini, ia secara tidak langsung menjadikan SUV ini kelihatan seperti kenderaan yang sesuai untuk eksplorasi bandar dan luar bandar.
Ruang Dalaman – Keselesaan Premium Untuk Perjalanan Jauh
Masuk ke dalam kabin, saya cukup teruja dengan tahap keluasan SUV ini. Bukan itu sahaja, mata saya juga akan terus tertumpu kepada material lembut pada papan pemuka, kulit premium pada tempat duduk, serta kemasan plastik dan logam bertekstur halus memberikan keselesaan dan rasa mewah tanpa terlalu berlebihan.
Susun atur dalaman yang ergonomik membolehkan pemandu mengakses semua kawalan dengan mudah.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan boleh dilaras secara elektrik dengan fungsi memori, manakala barisan kedua menawarkan ruang kaki yang luas.

Dalam pengalaman perjalanan pulang ke kampung, barisan kedua ini amat membantu apabila anda mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai dan memerlukan ruang barangan tambahan untuk meletakkan beg-beg yang penting.
Bagi barisan ketiga, walaupun lebih sesuai untuk kanak-kanak, ia masih boleh menampung penumpang dewasa untuk perjalanan jarak pendek.

Ruang but juga sangat praktikal. Walaupun semua tujuh tempat duduk digunakan, masih ada ruang untuk beberapa beg dan bekalan harian. Sekiranya barisan ketiga dilipat, anda boleh menambah lebih banyak barangan besar seperti bagasi besar, stroller, atau kotak bekalan.
Ruang simpanan tambahan seperti konsol tengah, poket pintu, dan ruang di bawah tempat duduk pula memudahkan penumpang menyimpan barang peribadi seperti dompet, telefon atau botol air.
Sistem Inforia Dan Port Pengecasan Yang Mencukupi
Seterusnya, Hyundai SANTA FE dilengkapi dengan skrin sentuh 10.25 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, memudahkan saya mengakses navigasi dan muzik semasa perjalanan pulang ke kampung. Sistem ini menjadikan perjalanan lebih menyeronokkan, terutamanya apabila terpaksa menghadapi trafik atau jalan kampung yang berliku.

Sistem audio pula jelas dan lantang kerana dilengkapi dengan 12 pembesar suara Bose, membolehkan saya dan penumpang menikmati muzik yang berkualiti sepanjang perjalanan ke Pengkalan Hulu sejauh 450km.
Bagi pemandu yang gemar menggunakan aplikasi, sistem inforia pada model ini juga cukup responsif dan mudah digunakan. Walaupun sesetengah kawalan masih memerlukan sentuhan fizikal, skrin ini cukup intuitif dan tidak mengganggu fokus ketika memandu, memberi keyakinan tambahan semasa mengendalikan SUV bersaiz besar ini di jalan kampung atau lebuh raya.

Selain itu, Hyundai SANTA FE turut dilengkapi Dual Wireless Charger yang sangat membantu ketika perjalanan balik kampung. Saya boleh mengecas dua telefon serentak tanpa perlu risau tentang kabel yang berserabut. Indikator pengecasan pula jelas menunjukkan bila telefon sedang dicas, membolehkan saya fokus memandu tanpa perlu memeriksa telefon berkali-kali. Ciri ini benar-benar menambah keselesaan dan kemudahan, terutamanya apabila perjalanan agak jauh atau memerlukan banyak perhentian.
Selain di bahagian pemandu, port pengecasan turut disertakan di beberapa tempat lain iaitu di tempat duduk, di ruang but dan banyak lagi. Menarik bukan?

Pengalaman Pemanduan – Ranggi Tapi Jimat Minyak
Model 1.6 T-GDi Hybrid 2WD Prestige menggabungkan enjin petrol 1.6 liter turbo dengan motor elektrik, membolehkan pemanduan lancar dan responsif. Dalam pengalaman perjalanan balik kampung yang melibatkan lebuh raya, jalan kampung sempit, dan trafik sesak di bandar, SANTA FE terasa ringan dan mudah dikawal walaupun bersaiz besar.
Sistem hibrid membolehkan kenderaan memanfaatkan kuasa elektrik ketika memulakan perjalanan atau di kawasan bandar. Dalam perjalanan balik kampung sekitar 450 km, penggunaan petrol menunjukkan purata sekitar 35 liter yang bersamaan dengan RM80 untuk sekali pergi – angka yang mengagumkan untuk SUV bersaiz ini. Mod hibrid juga memastikan kuasa disalurkan dengan lancar — apabila tenaga bateri berkurang, enjin petrol mengambil alih tanpa gangguan kepada prestasi.


SANTA FE menawarkan beberapa mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan My Drive. Mod Eco membantu memaksimumkan penjimatan bahan api, Sport pula sesuai digunakan ketika anda ingin menambah pecutan berkuasa ketika perlu memotong kenderaan lain, manakala My Drive pula adalah mod pemanduan yang akan menyesuaikan prestasi secara automatik mengikut gaya pemanduan. Transmisi automatik 6-kelajuan pula halus, menjadikan pemanduan di lebuh raya atau jalan kampung santai dan selesa.
Suspensi SANTA FE menyerap hentakan jalan kampung dengan baik. Walaupun melalui jalan berlopak atau beralun, penumpang jarang terasa gangguan. Stereng ringan tetapi tepat memudahkan pemanduan di lorong sempit kampung dan membuat pusingan tajam tanpa rasa risau.

Sistem Keselamatan Dan Ciri Pintar ADAS
Menjadi satu keperluan untuk kebanyakan kenderaan masa kini, Hyundai SANTA FE ini juga turut dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif seperti Forward Collision-Avoidance Assist, Blind-Spot Collision Warning, Lane Keeping Assist, serta kamera 360 darjah yang membantu pemanduan di kawasan sempit atau parkir.
Kedudukan tempat duduk yang tinggi memberikan pandangan jelas ke depan, manakala sistem keselamatan ini memberikan keyakinan tambahan, terutamanya apabila membawa keluarga atau anak kecil.

Tambahan lagi, sistem brek automatik, amaran pelanggaran dan pengesan pejalan kaki membolehkan saya lebih fokus memandu tanpa terlalu risau tentang kemungkinan insiden kecil.
Dan yang paling saya suka ketika memandu SUV yang besar dan panjang ini ialah kamera pada titik buta yang membantu saya melihat kenderaan di lorong sebelah sebelum menukar lorong. Ciri ini memberi keyakinan tambahan dan membuatkan saya rasa lebih selesa mengendalikan kenderaan bersaiz besar, walaupun di kawasan sempit atau ketika parkir.

Keseluruhannya, Adakah Saya Berpuas Hati Dengan Hyundai SANTA FE 1.6 T-GDi Hybrid 2WD Prestige Ini?
Berdasarkan pengalaman saya, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, saya menyedari bahawa SANTA FE ini memang ideal untuk keluarga moden. Ruang kabin yang luas membolehkan setiap penumpang selesa, manakala barangan balik kampung mudah dimuatkan tanpa perlu kompromi.

Di lebuh raya, mod Sport memberikan pecutan lancar, manakala mod Eco atau Hybrid menjimatkan petrol. Jalan kampung yang sempit dan berliku dapat dilalui dengan mudah kerana stereng responsif dan kamera 360 darjah. Pemanduan jarak jauh juga tidak meletihkan, terutamanya dengan kerusi pemandu yang ergonomik, sistem pendingin udara zon-dua atau zon-tiga, dan sistem inforia yang memastikan penumpang terhibur sepanjang perjalanan.
Walaupun bersaiz besar, SANTA FE baharu ini terasa lincah di jalan kampung dan selamat di lebuh raya. Pengalaman ini membuktikan bahawa SUV bersaiz keluarga tidak semestinya membebankan dari segi penggunaan bahan api atau keselesaan pemandu.

Walau bagaimanapun, bagi pemandu wanita setinggi 165 cm, kenderaan ini masih terasa besar dan agak mencabar untuk dikendalikan, terutamanya di kawasan parkir yang sempit atau lorong bandar yang sesak. Namun dengan bantuan sistem bantuan pemanduan, cabaran ini dapat diatasi dengan lebih mudah, menjadikan pengalaman memandu tetap menyeronokkan dan selamat.
Untuk model ini, ia ditawarkan pada harga RM245,000 sebuah.