Acara Kiraan Detik Ambang Tahun Baharu 2026 Akan Diadakan Di Pavilion Kuala Lumpur

December 24, 2025
Pusat Beli-Belah

Lina Rosli

Menjelang tahun baharu ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama dengan The Fame Events dan disokong oleh Tourism Malaysia bakal hadir dengan acara kemuncak Festival Kiraan Detik Visit Malaysia 2026.

Sambutan ini dianjurkan bagi membuka tirai kepada tahun yang cemerlang – selain turut menyemarakkan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menampilkan budaya, kreativiti dan perpaduan negara.

Menerusi festival ini juga, turut berlangsung Kiraan Detik Ambang Tahun Baharu pada malam 31 Disember 2025 yang akan mempersembahkan gabungan pertunjukan bunga api pyromusical yang diselaraskan bersama unjuran laser, dan paparan 3D anamorphic.

Detik istimewa ini turut dimeriahkan dengan kemunculan Wira dan Manja, maskot beruang matahari kesayangan ramai yang akan menyambut kehadiran para pengunjung. 

Bukan sekadar itu, terdapat ramai barisan selebriti tanah air yang turut akan bersama-sama memeriahkan acara kiraan detik terbesar di negara ini. Antara yang bakal hadir termasuklah Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans, Nazu, Danson Ooi, Euzen dan Penny.

Sambutan Awal Di Sekitar Ibu Kota

Menjelang kemuncak sambutan, dua acara sampingan akan turut memeriahkan suasana. Bazar Visit Malaysia 2026 di Pavilion Bukit Jalil akan berlangsung dari 26 hingga 31 Disember 2025, manakala Pameran Seni dan Budaya Visit Malaysia 2026 di Fahrenheit 88 akan diadakan pada 27 hingga 31 Disember 2025.

Kedua-dua acara ini menghimpunkan pelbagai makanan tempatan, hasil kraf, persembahan dan pengalaman kebudayaan untuk diterokai oleh para pengunjung.

Jadinya, orang ramai dijemput hadir bagi meraikan sambutan epik ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Kemasukan adalah percuma dan para pengunjung digalakkan hadir awal untuk menikmati pemandangan terbaik sepanjang persembahan kiraan detik.

Acara Kiraan Detik Ambang Tahun Baharu Visit Malaysia 2026
31 Disember 2025
7.00 malam – 12.30 tengah malam
Pintu Utama, Pavilion Kuala Lumpur

Bazar Visit Malaysia 2026
26 – 31 Disember 2025
10.00 pagi – 10.00 malam
Piazza Pavilion Bukit Jalil

Pameran Seni dan Budaya Visit Malaysia 2026
27 – 31 Disember 2025
10.00 pagi – 10.00 malam
Fahrenheit 88

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd