Osteoporosis – Mengapa Rakyat Malaysia Perlu Memandang Serius Terhadap Ancaman Senyap Ini?
Lina Rosli
Apabila umur semakin meningkat, perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh individu adalah berkenaan kesihatan tulang. Ini kerana tulang merupakan elemen penting pada tubuh yang membantu anda bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dan jika ia tidak dijaga dengan baik pada awal usia, sudah tentu ianya akan memberi kesan kepada individu pada masa akan datang.
Inilah realiti osteoporosis, satu penyakit yang sering digelar sebagai “penyakit senyap”. Kebanyakan individu hanya menyedari kewujudannya selepas berlaku kepatahan tulang akibat impak ringan yang sepatutnya tidak mencederakan tulang yang sihat.
Osteoporosis melemahkan struktur tulang dari semasa ke semasa tanpa menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran awal. Apabila diagnosis dibuat, selalunya keadaan telah berada pada tahap serius dan memberi kesan besar terhadap kualiti hidup pesakit.

Kepatahan berkaitan osteoporosis, atau dikenali sebagai kepatahan fragiliti, lazimnya melibatkan tulang pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.
Kepatahan pinggul merupakan yang paling membimbangkan kerana sering mengakibatkan ketidakupayaan bergerak untuk tempoh yang panjang, malah dikaitkan dengan risiko kematian dalam tempoh setahun akibat komplikasi pasca rawatan.
Kepatahan tulang belakang pula boleh berlaku walaupun tanpa kejatuhan yang jelas, seperti ketika duduk atau bangun secara tiba-tiba. Ia sering menyebabkan sakit belakang berpanjangan, perubahan postur serta tekanan pada saraf. Walaupun kepatahan pergelangan tangan tidak mengancam nyawa, ia tetap menjejaskan keupayaan melakukan aktiviti harian seperti berpakaian, mandi dan bergerak, khususnya jika melibatkan tangan dominan.
Selain kesan fizikal, osteoporosis turut memberi impak emosi. Ramai pesakit mengalami ketakutan untuk bergerak kerana bimbang terjatuh semula. Keadaan ini menyebabkan mereka menjadi kurang aktif, otot semakin lemah dan akhirnya membawa kepada pengasingan sosial, satu kitaran yang boleh memburukkan lagi kesihatan secara keseluruhan.

Mengapa Rakyat Malaysia Berisiko Mengalami Osteoporosis?
Kes osteoporosis semakin meningkat di Malaysia, didorong oleh perubahan gaya hidup dan tabiat pemakanan. Walaupun makanan tempatan kaya dengan kepelbagaian rasa, pengambilan nutrien penting seperti kalsium sering tidak mencukupi. Produk tenusu, tauhu, ikan bertulang lembut serta sayur-sayuran hijau jarang diambil secara konsisten.
Kekurangan vitamin D juga merupakan isu utama. Walaupun Malaysia beriklim tropika, ramai individu mengelakkan pendedahan kepada cahaya matahari. Sedangkan vitamin D sangat penting untuk membantu penyerapan kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.
Selain sumber makanan seperti ikan berlemak dan cendawan, cahaya matahari pagi kekal sebagai sumber semula jadi terbaik.
Bukan itu sahaja, wanita turut berdepan risiko yang lebih tinggi selepas menopaus apabila paras estrogen, hormon yang berperanan melindungi tulang, mula menurun. Namun, lelaki juga tidak terkecuali daripada ancaman osteoporosis, terutamanya mereka yang merokok, mengamalkan pemakanan tidak seimbang atau mengambil ubat-ubatan tertentu dalam tempoh jangka panjang.
Bila Perlu Lakukan Saringan Osteoporosis
Berdasarkan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia 2022 bagi Pengurusan Osteoporosis, saringan disyorkan khususnya kepada individu yang mengalami kepatahan akibat trauma rendah, seperti terjatuh dari ketinggian berdiri.
Di samping itu, wanita berusia 50 tahun ke atas serta lelaki berusia 70 tahun ke atas turut digalakkan menjalani saringan walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala awal.
Kaedah saringan utama ialah ujian DEXA, iaitu pemeriksaan standard yang ringkas dan tidak invasif untuk menilai ketumpatan mineral tulang. Ujian ini tersedia di kebanyakan hospital dan klinik pakar, dan penilaian awal membolehkan rawatan dimulakan lebih awal bagi mencegah kepatahan serius, seterusnya meningkatkan keselamatan serta pemulihan jangka panjang pesakit.

Amalan Harian Untuk Tulang Lebih Kuat
Rawatan osteoporosis biasanya melibatkan gabungan perubahan gaya hidup dan penggunaan ubat-ubatan, bergantung kepada tahap kerapuhan tulang seseorang.
Asas kepada rawatan ini ialah pemenuhan keperluan nutrien penting untuk tulang, khususnya kalsium dan vitamin D. Pengambilan sekitar 1,000 mg kalsium dan 800 IU vitamin D sehari disarankan bagi membantu mengekalkan kekuatan tulang, sama ada melalui makanan harian atau suplemen sekiranya keperluan tidak dapat dipenuhi melalui diet semata-mata.
Selain nutrisi, aktiviti fizikal yang dilakukan secara konsisten turut memainkan peranan penting dalam merangsang pembentukan tulang dan mengekalkan kekuatan otot. Senaman seperti berjalan, berjoging ringan, latihan beban dan senaman rintangan membantu memberi rangsangan mekanikal kepada tulang, manakala aktiviti seperti Tai Chi pula sesuai untuk meningkatkan keseimbangan dan mengurangkan risiko jatuh, terutamanya dalam kalangan warga emas.

Bagi individu dengan osteoporosis yang lebih teruk atau berisiko tinggi mengalami kepatahan, rawatan ubat-ubatan mungkin diperlukan. Ini termasuk ubat oral, suntikan atau infusi yang diberikan secara berkala mengikut keperluan pesakit.
Rawatan ini bertujuan menguatkan tulang dan mengurangkan risiko kepatahan, dan keberkesanannya akan lebih optimum apabila disertai pemantauan berkala serta amalan gaya hidup sihat yang berterusan.
Pencegahan Bermula Di Rumah
Selain itu, persekitaran rumah yang selamat memainkan peranan penting dalam melindungi individu yang berisiko daripada terjatuh. Perubahan kecil seperti menanggalkan permaidani yang licin, memastikan rumah mempunyai pencahayaan yang mencukupi serta memasang palang pemegang di bilik mandi boleh membantu mengurangkan risiko kejatuhan dengan ketara.
Pada masa yang sama, sokongan daripada ahli keluarga amat penting untuk memastikan kesejahteraan mereka yang berusia.
Individu warga emas wajar digalakkan untuk terus bergerak dan menjalani aktiviti harian secara selamat, bukannya dihalang akibat kebimbangan berlebihan. Meluangkan masa bersama, menyediakan pemakanan yang seimbang serta memastikan pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala dapat membantu mereka mengekalkan keyakinan, kebebasan dan kualiti hidup untuk jangka masa yang lebih panjang.

Dengan ini, harus diingakan bahawa pencegahan osteoporosis seharusnya bermula sejak usia muda melalui pemakanan seimbang, pendedahan cahaya matahari yang mencukupi dan gaya hidup aktif. Tulang yang kuat dibina secara berperingkat sepanjang hayat.
Inisiatif komuniti seperti senaman berkumpulan, kelab berjalan kaki dan pendidikan nutrisi mampu meningkatkan kesedaran awam.
Apabila usia meningkat, keupayaan untuk bergerak bebas dan hidup berdikari menjadi aset paling berharga. Tulang yang sihat adalah asas kepada kehidupan yang aktif dan bermakna, dan ia perlu dijaga sebelum berlakunya kejatuhan, bukan selepasnya.