Sekitar 2025 – Apa Yang Menarik Dalam Dunia Automotif Malaysia?

December 31, 2025
Automotif

Lina Rosli

Tahun 2025 boleh dianggap sebagai titik perubahan paling signifikan dalam sejarah industri automotif Malaysia.

Jika sebelum ini pasaran tempatan masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman, tahun ini menyaksikan peralihan pantas ke arah elektrifikasi – perubahan ini banyak dipacu oleh kemasukan jenama besar yang sedikit sebanyak telah mengubah landskap automotif.

Jadi, berikut adalah beberapa perkara menarik yang berlaku pada sepanjang tahun 2025 di dalam dunia automotif tempatan.

Kemunculan EV Nasional Pertama

Seperti yang ramai sedia maklum, tahun 2025 mencatatkan satu detik bersejarah dalam industri automotif Malaysia apabila dua pengeluar kereta nasional tampil dengan model kenderaan elektrik sepenuhnya.

Proton dan Perodua bukan sahaja memperkenalkan EV pertama masing-masing, malah berjaya membuktikan bahawa teknologi elektrifikasi kini bukan lagi sekadar konsep, sebaliknya realiti yang semakin diterima pengguna tempatan.

Pelancaran Proton e.MAS 7 menjadi pembuka tirai kepada gelombang EV nasional iaitu pada akhir Disember 2024. Sejak mula diserahkan kepada pelanggan, model ini pantas mencuri perhatian dan muncul sebagai antara EV terlaris di Malaysia sepanjang 2025.

Bagi yang tidak mengetahui, Proton e.Mas7 ini ditawarkan pada julat harga sekitar RM110,000 hingga RM120,000 – sekaligus berjaya menarik minat golongan kelas menengah yang mahukan kenderaan elektrik dengan spesifikasi seimbang. Jarak pemanduan melebihi 500 kilometer, digabungkan dengan teknologi berasaskan platform Geely, menjadikan e.MAS 7 satu pilihan yang praktikal untuk kegunaan harian, tanpa mengorbankan prestasi atau keselesaan.

Momentum tersebut diteruskan oleh Proton e.MAS 5, yang melengkapkan barisan EV Proton bagi memenuhi keperluan segmen pengguna yang lebih luas. Kehadiran e.MAS 5 mengukuhkan lagi strategi Proton dalam membina ekosistem EV nasional, sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang ingin beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada mobiliti elektrik.

Namun, peristiwa paling besar dan paling dinanti pada tahun ini sudah tentu pelancaran Perodua QV-E pada 1 Disember 2025. Buat pertama kalinya, Perodua melangkah masuk ke pasaran kenderaan elektrik sepenuhnya dengan sebuah model yang disasarkan khusus untuk pengguna arus perdana. Dengan jualan harga sekitar RM80,000, QV-E mencipta kejutan besar dalam industri, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi EV mampu milik di Malaysia.

Apa yang lebih menarik lagi, Perodua QV-E hadir dengan pendekatan inovatif melalui konsep Battery-as-a-Service (BaaS). Menerusi sistem ini, pemilik tidak perlu memiliki bateri secara langsung, sebaliknya menyewa bateri dengan bayaran bulanan.

Pendekatan ini bukan sahaja menurunkan kos pembelian awal kenderaan, malah membantu mengurangkan kebimbangan pengguna terhadap kemerosotan prestasi bateri dan kos penggantian pada masa hadapan.

Pelaksanaan Subsidi Petrol Bersasar (BUDI95)

Selain perkembangan dalam industri automotif, tahun 2025 turut menyaksikan perubahan besar dalam kos sara hidup apabila kerajaan memperkenalkan program BUDI95 pada 30 September 2025. Pengenalan subsidi petrol bersasar ini menandakan peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada pendekatan yang lebih terarah, khusus untuk golongan yang layak.

Melalui pelaksanaan BUDI95, harga petrol RON95 mula diapungkan bagi pengguna yang tidak lagi menerima subsidi iaitu pada harga pasaran sekitar RM2.60 hingga RM2.70 seliter.

Kemasukan Jenama Baharu Dalam Pasaran Malaysia

Seterusnya, pada tahun ini turut memperlihatkan kemasukan jenama elektrik baharu dalam segmen premium. Ia secara tidak langsung meningkatkan persaingan dalam pasaran EV mewah. Antara yang paling mencuri perhatian ialah Denza dan Zeekr, dua jenama di bawah kumpulan automotif China yang tampil dengan pendekatan tersendiri.

Denza memasuki pasaran Malaysia pada Februari 2025 sebagai jenama berasingan di bawah naungan BYD, dengan fokus khusus kepada segmen kenderaan elektrik mewah. Model sulung yang diperkenalkan, Denza D9, merupakan sebuah MPV elektrik premium yang menyasarkan pengguna keluarga dan korporat berpendapatan tinggi.

Zeekr pula jenama premium daripada Kumpulan Geely, turut memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia sepanjang 2025. Walaupun pengumuman awal dibuat pada penghujung 2024, tahun 2025 menjadi permulaan sebenar operasi Zeekr apabila pusat pameran utama dibuka dan jualan rasmi serta penghantaran model dimulakan. Model seperti Zeekr X dan Zeekr 009 menjadi tumpuan, khususnya dalam kalangan pengguna yang mencari gabungan kemewahan, prestasi elektrik dan teknologi pemanduan pintar.

Tanjung Malim Sebagai Hab Strategik Untuk EV Dan CKD

Dalam usaha memperkukuhkan ekosistem kenderaan elektrik tempatan, Tanjung Malim semakin muncul sebagai hab strategik EV dan pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di Malaysia. Kawasan ini bukan sahaja sinonim dengan operasi Proton, malah kini menjadi tumpuan pelaburan baharu daripada pengeluar automotif antarabangsa.

Sebelum ini, Proton telah mengesahkan komitmen mereka untuk memusatkan semua operasi pengeluaran di Tanjung Malim sebagai sebahagian daripada strategi future-ready melalui pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV). Kini, hampir semua pengeluaran Proton dari Shah Alam telah dipindahkan, dengan fokus utama pada siri e.MAS (EV nasional) dan model X-series sedia ada.

Bukan itu sahaja, BYD turut merancang untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai lokasi kilang EV pertama mereka di Malaysia – yang dijangka akan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2026. Walaupun pengeluaran penuh dijangka bermula pada 2026, ekosistem vendor dan persiapan kilang telah mula bertapak sepanjang 2025, menyokong pemindahan teknologi serta pembangunan tenaga kerja tempatan.

Tidak terhad di Tanjung Malim, terdapat beberapa jenama lain yang turut mula membuka operasi pemasangan secara tempatan di beberapa negeri lain – seperti Jetour juga kini telah melaksanakan pemasangan CKD di Johor – yang mana kilang ini akan menjadi hub pasaran domestik dan eksport ASEAN. Manakala Hyundai pula melakukan pelaburan pembukaan kilang di Kulim, dan Volvo melakukan pemasangan CKD di Shah Alam.

Sementara untuk Zeekr, jenama premium di bawah Geely ini mengesahkan model-model mereka akan dipasang secara tempatan di kilang Proton Tanjung Malim dengan menggunakan kepakaran teknologi kongsi.

Penamatan Insentif Pengecualian Cukai Bagi Kenderaan Elektrik Import Sepenuhnya (CBU)

Menutup tirai tahun 2025, insentif pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) tidak lagi ditawarkan kepada pengguna.

Bermula 1 Januari 2026, duti import dan eksais akan dikenakan semula ke atas EV CBU, yang dijangka menyebabkan kenaikan harga bagi model import, kecuali yang dipasang secara tempatan (CKD). Penamatan insentif ini dijangka mengubah strategi pengeluar dan pengguna, dengan lebih banyak fokus diberikan kepada pemasangan tempatan serta pembangunan rantaian bekalan dalam negara.

Secara keseluruhannya, dengan pelancaran EV nasional serta kemasukan pemain global baharu, industri automotif Malaysia kini melangkah ke fasa baharu yang lebih matang dan kompetitif. Tahun-tahun selepas 2025 bakal menentukan sejauh mana transformasi ini dapat dikekalkan dan dimanfaatkan oleh pengguna tempatan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd