Carian
Mengapa Minum Air Boleh Menambah Lagi Rasa Pedas Di Mulut?
February 12, 2025 Lina Rosli

Walaupun lidah terasa pedih dan kebas, di kebanyakan situasi sesetengah individu tetap suka dan gemar untuk menikmati hidangan yang pedas. Mengapa sedemikian?

Menceritakan sedikit pengalaman sendiri, penulis cukup menggemari hidangan pedas seperti ayam goreng dengan sambal gepuk, asam pedas dan sambal belacan dan banyak lagi. Dan semakin pedas sesuatu makanan itu, semakin sedap untuk dinikmati.

Untuk pengetahuan anda, makanan pedas mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai capsaicin yang mana ia merupakan pencetus rasa pedas di dalam cili.

Secara khusus, capsaicin terdapat di dalam tanaman dalam keluarga Capsicum, termasuk paprika, lada jalapeño, lada cayenne dan cili yang lain.

Apakah Kesan Capsaicin Pada Badan?

Selain memberikan rasa pedas, capsaicin juga meningkatkan sensasi terbakar pada kulit atau tisu yang bersentuhan dengannya. Sebatian ini banyak terkandung pada selaput luar dan bahagian dalam cili, manakala bijinya sebenarnya tidak mengandungi capsaicin.

Inilah sebabnya mengapa memegang atau memotong cili boleh menyebabkan rasa panas pada jari, terutama jika terkena bahagian yang kaya dengan capsaicin.

Bukan itu sahaja, capsaicin juga turut merangsang pengeluaran endorfin – merupakan bahan kimia dalam otak yang berfungsi sebagai pereda kesakitan semula jadi. Jadinya, apabila individu menikmati makanan pedas, mereka akan mengalami rasa euforia atau ketagihan terhadap makanan pedas, kerana kesannya yang menyerupai peningkatan mood secara semula jadi.

Mengapa Minum Air Boleh Menambah Lagi Rasa Pedas Pada Makanan?

Capsaicin adalah sebatian yang tidak larut dalam air, mirip seperti minyak. Oleh itu, apabila anda minum air selepas makan makanan pedas, ia hanya akan menyebarkan rasa pedas ke seluruh mulut tanpa mengurangkannya.

Sebaliknya, capsaicin mudah larut dalam lemak, termasuk produk tenusu seperti susu penuh lemak, yang berkesan untuk meredakan kepedasan.

Jika anda ingin mengelakkan tenusu, minuman bersifat asidik seperti air limau, jus oren, atau makanan berasaskan tomato juga boleh membantu meneutralkan capsaicin – sekaligus memberikan kelegaan yang lebih cepat.

Komen