Apa Itu Jumlah Benang Untuk Cadar? Adakah Semakin Tinggi Jumlah Benang Semakin Selesa Untuk Digunakan?

February 17, 2025
Keperluan Rumah

Lina Rosli

Pernahkah anda melakukan pembelian cadar di pasaraya ataupun kedai cadar, anda melihat pada butiran pembungkusan yang menyatakan tentang thread count atau jumlah benang yang ada pada cadar?

Jika ya, tahukah anda, apakah yang dimaksudkan dengan jumlah benang yang ditawarkan pada cadar berkenaan?

Untuk pengetahuan anda, jumlah benang atau thread count pada cadar merujuk kepada bilangan benang yang ditenun dalam satu inci persegi kain termasuk benang yang disusun secara menegak (warp) dan melintang (weft). Ia sering digunakan sebagai penunjuk kualiti dan kelembutan kain.

Secara umumnya, semakin tinggi jumlah benang, semakin lembut dan tahan lama kain tersebut. Namun, harus diingatkan bahawa jumlah benang ini juga sebenarnya tidak semestinya menjamin kualiti cadar kerana, terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi kualiti seperti:

  • jenis kapas
  • kaedah tenunan
  • kemasan kain

Sebagai rujukan, berikut adalah jumlah benang untuk cadar yang biasa terdapat di pasaran:

  • 200-400 – Cadar dengan kualiti asas yang selesa dan bernafas.
  • 400-600 – Kualiti sederhana hingga premium, lebih lembut dan tahan lama.
  • 600 ke atas – Biasanya lebih lembut, tetapi kadangkala dipengaruhi oleh teknik tenunan yang boleh menambah bilangan benang secara buatan.

Bukan itu sahaja, teknik tenunan juga perlu dipertimbangkan. Percale dan Sateen adalah dua jenis tenunan (weave) yang digunakan dalam pembuatan cadar, dan kedua-duanya mempunyai ciri serta kelebihan tersendiri.

1. Percale

  • Tenunan: Tenunan asas satu-benang-atas, satu-benang-bawah (one-over-one-under).
  • Rasa & Tekstur: Permukaan yang sedikit kasar tetapi ringan, sejuk, dan bernafas.
  • Ketahanan: Tahan lama dan semakin lembut selepas beberapa kali dicuci.
  • Sesuai Untuk: Cuaca panas atau mereka yang suka cadar dengan rasa sejuk dan segar seperti kain kapas hotel.

2. Sateen

  • Tenunan: Tenunan satin dengan corak empat-benang-atas, satu-benang-bawah (four-over-one-under).
  • Rasa & Tekstur: Permukaan lebih licin, berkilat dan lembut seperti sutera.
  • Ketahanan: Kurang tahan lama berbanding percale kerana serat lebih longgar, tetapi lebih mewah dan elegan.
  • Sesuai Untuk: Mereka yang suka rasa cadar yang lembut dan hangat, sesuai untuk cuaca sejuk atau tidur dalam bilik berhawa dingin.

Jadinya, di sini anda dapat lihat yang mana semakin banyak jumlah benang, ia boleh menyebabkan helaian cadar menjadi lebih berat dan tenunan juga akan semakin rapat. Apabila sedemikian, cadar tersebut menjadi tidak sesuai untuk digunakan untuk cuaca di Malaysia kerana benang yang rapat akan mengeluarkan haba yang lebih banyak berbanding jumlah benang yang sedikit.

Menurut pakar, jumlah benang yang paling bersesuaian di Malaysia adalah sekitar 300 hingga 500, tanpa mengambil kira bahan yang digunakan.

Cadangan Fabrik Cadar Yang Sesuai Untuk Cuaca Di Malaysia

Tidak lengkap cadar tanpa kehadiran bahan yang berkualiti. Walaupun jumlah benang boleh memainkan peranan dalam membantu anda memilih cadar yang betul, namun fabrik cadar juga penting dan perlu dipertimbangkan.

Apabila fabrik cadar kasar dan keras, sudah tentu ia akan menyebabkan pengalaman tidur menjadi tidak selesa apabila bersentuhan dengan kulit.

Di Malaysia, rata-rata cadar diperbuat daripada jenis kapas dan juga linen. Faktor penggunaan bahan ini mungkin disebabkan oleh ianya dijual pada harga yang lebih berpatutan selain turut berpadanan dengan iklim kita yang hangat.

Namun, sejak kebelakangan ini, penggunaan fabrik tencel telah menjadi pilihan kebanyakan individu. Ia merupakan altenatif yang mesra alam – yang semakin popular dan banyak digunakan oleh pengeluar cadar.

Bukan itu sahaja, tencel juga mempunyai tekstur yang sangat lembut dan ringan untuk disentuh – jika dibandingkan dengan kapas. Malah, ia juga mempunyai keupayaan untuk menyerap lembapan dengan baik – jadi ia tidak menyebabkan fabrik menjadi bertompok dan kotor sekiranya anda kerap berpeluh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd