Lemon Dan Limau – Perbezaan Dari Segi Rasa Dan Nutrisi
Lina Rosli
Seperti yang anda ketahui, lemon dan limau adalah dari kumpulan sitrus yang agak popular dalam kalangan individu.
Tidak hanya digunakan untuk masakan, malah ia turut disediakan dalam bentuk jus dan ada juga individu yang menggunakannya sebagai pewangi semula jadi.
Walau bagaimanapun, tahukah anda apakah perbezaan ketara antara kedua-dua lemon dan limau ini – selain daripada rupa dan warnanya?

Limau Lebih Pahit, Manakala Lemon Lebih Manis
Untuk pengetahuan anda, walaupun lemon dan limau sama-sama menghasilkan rasa masam yang menyegarkan, terdapat perbezaan yang halus dari segi rasa dan kesesuaian penggunaannya dalam masakan.
Dari segi perisa, lemon mengandungi kira-kira 2% gula semula jadi, menjadikannya sedikit lebih manis berbanding limau yang hanya mempunyai antara 0.5% hingga 0.75% gula.
Justeru, limau lebih sesuai digunakan dalam hidangan savoury atau masakan yang tidak manis, manakala lemon menawarkan rasa masam yang lebih lembut dan sedikit manis, sesuai untuk minuman, pencuci mulut atau masakan yang memerlukan rasa seimbang – seperti sos serta masakan Barat tanpa mengatasi rasa bahan utama.

Limau pula lebih sesuai digunakan untuk perapan, sambal, sos dan hidangan berinspirasikan Asia serta tempatan. Rasa masamnya yang lebih kuat dan segar mampu menyerlahkan cita rasa makanan, selain membantu mengurangkan keperluan penggunaan garam atau bahan perasa tambahan.
“Limau Kuning Bukan Lemon, Lemon Hijau Bukan Limau”
Bukan itu sahaja, harus diingatkan bahawa warna kulit buah ini tidak semestinya menentukan sama ada buah itu lemon atau limau. Secara umumnya, lemon berwarna kuning, berbentuk elipsoidal dan saiznya lebih besar, manakala limau biasanya berwarna hijau, kecil dan bulat.
Namun, ciri-ciri luaran ini hanyalah permulaan, kerana perbezaan kandungan asid menjadikan limau lebih berasid berbanding lemon.


Perbezaan Limau Dan Lemon Dari Sudut Nutrisi
Dari segi nutrisi, lemon mempunyai kandungan vitamin C yang sedikit lebih tinggi berbanding limau, menjadikannya antara buah sitrus yang sering menjadi pilihan kebanyakan individu bagi membantu meningkatkan fungsi sistem imun tubuh.
Bagi yang tidak mengetahui, vitamin C berfungsi sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel daripada kerosakan akibat radikal bebas, selain memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan luka dan pemulihan tisu. Nutrien ini juga terlibat secara langsung dalam penghasilan kolagen, iaitu protein struktur yang penting untuk mengekalkan keanjalan dan kesihatan kulit, serta menyokong kesihatan sendi dan salur darah.
Selain vitamin C, lemon turut membekalkan lebih folat, kalium dan vitamin B6.
Folat penting untuk pembentukan sel baharu dan kesihatan darah, manakala kalium membantu mengawal keseimbangan cecair dalam badan serta menyokong fungsi jantung dan tekanan darah yang sihat.
Vitamin B6 pula berperanan dalam fungsi sistem saraf dan metabolisme tenaga, menjadikan lemon pilihan yang sesuai untuk menyokong kesihatan tubuh secara menyeluruh, terutamanya bagi individu yang aktif atau memerlukan pemulihan fizikal yang lebih baik.

Berbeza dengan lemon, limau pula menonjol dari segi kandungan asid sitrik yang lebih tinggi. Dengan kehadiran asid sitrik, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan keasidan air kumuhan, sekaligus mengurangkan pembentukan kristal kalsium yang boleh membawa kepada batu karang.
Oleh itu, limau sering dikaitkan dengan sokongan kepada kesihatan buah pinggang, terutamanya bagi individu yang berisiko mengalami masalah tersebut. Selain itu, limau juga kaya dengan flavonoid, iaitu sebatian antioksidan yang membantu melindungi sel, menyokong kesihatan jantung dan mengurangkan keradangan dalam badan, faktor yang penting dalam pencegahan penyakit kronik.

Jadinya, mana satu pilihan yang lebih baik antara kedua-dua buah ini? Jawapannya, ia bergantung kepada keperluan dan matlamat kesihatan individu, kerana kedua-duanya menawarkan manfaat tersendiri.
Manfaat lemon dan limau juga tidak tertakluk kepada makanan sahaja. Buah-buahan ini boleh digunakan dalam beberapa cara di sekitar rumah anda juga.
Sebagai contoh, lemon adalah antiseptik semula jadi yang kuat. Itulah sebabnya ia biasa digunakan dalam sabun dan pembersih isi rumah yang lain. Malah, kulit lemon juga boleh digunakan untuk kerja-kerja dapur seperti membersihkan papan pemotong dan menggosok bahagian kerak pada periuk dan kuali.