Kenali Jenis-Jenis Pasta Dan Padanan Sos Yang Sesuai Untuk Setiap Hidangan

March 4, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Secara umumnya, terdapat beratus-ratus jenis pasta yang boleh anda dapatkan sama ada di pasaraya ataupun kedai runcit. Antara jenis pasta yang mudah ditemui di pasaran termasuklah Linguine, Ravioli, Penne, Rigatoni, Farfalle, Fusilli dan Cannelloni.

Walaupun kesemuanya diperbuat daripada bahan asas yang hampir sama seperti tepung gandum dan air, perbezaan bentuk inilah yang menjadikan setiap satu sesuai untuk kegunaan tertentu.

Pasta yang lebih nipis seperti linguine lazimnya dipadankan dengan sos yang ringan dan tidak terlalu pekat, contohnya sos berasaskan minyak zaitun atau makanan laut. Bentuknya yang leper dan halus membolehkan sos menyaluti setiap helaian tanpa membuatkan hidangan terasa berat.

Sebaliknya, pasta yang lebih tebal dan berongga seperti penne dan rigatoni sesuai digandingkan dengan sos yang lebih pekat seperti sos tomato berempah atau sos berasaskan krim. Struktur berongga dan permukaan berjalur membantu sos melekat dengan lebih baik – selain turut memberikan rasa yang lebih seimbang pada setiap suapan.

Bagi pasta yang berinti seperti ravioli, ia biasanya dihidangkan dengan sos yang lebih ringkas supaya rasa inti di dalamnya tidak tenggelam. Manakala cannelloni pula sering digunakan dalam hidangan bakar kerana bentuknya yang besar memudahkan ia diisi dengan campuran daging, sayur atau keju sebelum dibakar bersama sos.

Kenalpasti Jenis Pasta Dan Sediakan Sos Pasta Yang Bersesuaian

Untuk pengetahuan anda, pasta dibahagikan di dalam 2 kategori utama: panjang atau pendek.

Sementara di dalam jenis utama tersebut pula terdapat banyak subkategori lain seperti pasta yang berbentuk rata, tiub, kepingan, licin, bergerigi, tebal, nipis dan kecil.

Sebaik sahaja anda telah mengenalpasti jenis pasta ini, anda boleh memadankannya dengan sos yang bersesuaian.

Sebagai contoh, sos yang berminyak, berkrim dan mudah melekat lebih baik pada pasta yang panjang, manakala bentuk pasta yang pendek seperti tiub atau cangkerang lebih sesuai untuk sos di mana kepingan daging atau sayur-sayuran boleh bersarang di dalamnya.

Mengapa Masyarakat Itali Tidak Mematahkan Pasta Ketika Merebusnya?

Bagi kebanyakan budaya pemakanan di Asia, mi akan disedut terus dari mangkuk dan dipotong menggunakan gigi.

Tetapi untuk pasta, cara pemakanannya pula akan terlebih dahulu digulung pada garpu dan barulah ia dimakan. Oleh sebab itu, jika anda mematahkan pasta panjang kepada separuh, anda akan mempunyai helai yang lebih pendek yang menyukarkannya untuk dimakan.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan pasta dapat digulung dengan baik, ia juga haruslah dimasak sehingga el dente. Ini kerana, apabila pasta yang dimasak masih lagi keras ataupun terllau lembut, ia cenderung untuk lebih mudah patah ketika dililitkan pada garpu.

Dengan ini, anda sudah mengetahui akan jenis pasta yang bersesuai mengikut jenis sos. Pemilihan pasta yang tepat bukan sahaja mempengaruhi rasa, malah turut memberi kesan kepada tekstur dan pengalaman menikmati hidangan tersebut.

Oleh itu, memahami asas perbezaan pasta dapat membantu anda menyediakan hidangan yang lebih sesuai dan seimbang di rumah. Walaupun nampak kecil, padanan antara bentuk pasta dan jenis sos sebenarnya memainkan peranan besar dalam memastikan setiap hidangan terasa sempurna.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd