Pengalaman Menggunakan Leapmotor C10 Sebagai Pengecas Bergerak Sewaktu Tempoh Berkhemah
Lina Rosli
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan kali kedua saya menikmati pengalaman memandu SUV popular dari Leapmotor iaitu Leapmotor C10.
Ia merupakan SUV 5 tempat duduk dengan ruang kabin yang luas yang mana – sesuai untuk pengguna sudahpun berkerluarga atau gemar menerokai aktiviti baharu bersama kereta mereka.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui prestasi dan keselesaan Leapmotor C10 ini, kali ini saya memandu kereta ini menggunakan laluan perjalanan yang berbeza. Ia juga merupakan ujian untuk melihat sejauh mana SUV elektrik segmen D ini mampu berfungsi dalam pelbagai keadaan jalan, termasuk laluan berbukit, berliku dan jalan hutan yang tidak berturap sepenuhnya.
Bagi anda yang ingin mengetahui sama ada kereta ini sesuai ataupun tidak, berikut adalah pengalaman pemanduan saya ke tapak perkhemahan kami di Serendah – yang terletak kira-kira 70 kilometer dari rumah.
Dari Jalan Bandar Ke Jalan Hutan
Pertama sekali, apabila anda memasuki sahaja ke dalam ruang kabin Leapmotor C10, perkara pertama yang tertangkap di mata adalah keunikan warna dalaman kereta ini.
Kabinnya tampak terang dan penuh karakter — direka menggunakan warna jingga yang berani untuk tempat duduk dan kokpit, memberikan suasana segar dan moden. Rekaan ini bukan sahaja cantik secara visual, tetapi juga menimbulkan rasa selesa dan ceria sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

Untuk pengetahuan anda, Leapmotor C10 ini menggunakan tempat duduk berbalut kulit buatan yang diperakui OEKO-TEX STANDARD 100. Apa yang menarik tentang bahan ini adalah ia bersifa kalis cecair dan mudah dibersihkan menjadikannya pilihan praktikal untuk pengguna yang mengutamakan kemudahan penyelenggaraan.
Menurut Leapmotor, bahan tempat duduk ini juga turut direka mesra bayi – menjadikannya ideal untuk keluarga moden yang menginginkan gabungan gaya, keselesaan, dan kelestarian dalam kenderaan mereka.

Perjalanan bermula tepat pada jam 11.30 pagi, ketika saya memandu keluar dari Jalan Reko. Laluan pertama membawa saya ke Lebuhraya SUKE, memberikan peluang untuk menguji kestabilan dan respons pemanduan Leapmotor C10 dalam keadaan jalan yang berselekoh.
SUV elektrik ini menonjolkan prestasi yang mengagumkan yang mana suspensi mampu menyerap hentakan dengan baik, memastikan pemanduan kekal selesa walaupun melalui permukaan jalan yang tidak rata. Pecutannya juga responsif, dengan motor elektrik memberikan sokongan segera, menjadikan setiap pergerakan lancar dan terkawal.

Untuk perjalanan ke Serendah juga, saya mengambil peluang untuk melalui Jalan Pintasan Rawang (Rawang Bypass), ini bagi mencuba sistem brek regeneratif. Sebaik sahaja pedal pemecut dilepaskan, kenderaan memperlahankan kelajuan secara automatik, seolah-olah menekan brek sendiri.
Sistem ini bukan sahaja menjana semula tenaga ke dalam bateri, tetapi juga meningkatkan kecekapan pemanduan. Bagi pemandu yang belum biasa dengan ciri ini, mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Namun, selepas beberapa kilometer, gaya pemanduan boleh diubah untuk memanfaatkan sistem ini dengan lebih optimum, menjadikannya lebih mesra tenaga tanpa terlalu bergantung kepada brek konvensional.

Dari segi jarak pemanduan, Leapmotor C10 menawarkan sehingga 424 kilometer dengan satu cas penuh, membolehkan pemandu merancang perjalanan jauh tanpa kebimbangan. Fungsi pengecasan pantas pula membolehkan bateri dicas dari 30 peratus ke 80 peratus dalam masa hanya 30 minit.
Sekiranya dalam perjalanan pulang ke kampung, pemandu boleh berhenti seketika untuk mengecas, berehat, dan mendapatkan minuman ringan sebelum meneruskan perjalanan.

Laluan Hutan Ke Tapak Perkhemahan
Cabaran sebenar bermula apabila saya menghampiri Kampungku Retreat. Jalan masuk ke tapak perkhemahan agak mencabar dan berliku, jauh berbeza daripada jalan raya biasa.
Laluan ini berupa jalan hutan yang tidak berturap, beralun, dan agak sempit yang mana ia hanya memuatkan satu kereta sahaja pada satu-satu masa. Disebabkan Leapmotor C10 ini dilengkapi dengan kamera 360º, jadi untuk pemanduan di laluan ini, saya berasa lebih yakin. Ini kerana saya boleh mengaktifkan dan melihat keadaan luar dan jarak antara kereta dan pokok sepanjang pemanduan.

Secara umumnya, walaupun Leapmotor C10 ini bukan kenderaan off-road, namun dari segi pemanduan, ia masih lagi selesa dikendalikan. Kawalan kuasa yang lancar memudahkan pemanduan perlahan, manakala kestabilan badan kenderaan memberikan pengalaman memandu yang selesa walaupun melalui cabaran laluan hutan.
Menggunakan Kereta Sebagai Sumber Kuasa
Untuk pengetahuan anda juga, tapak perkhemahan Kampungku Retreat ini sebenarnya tidak menyediakan plugpoint yang mana kami pada awalnya agak khuatir sekiranya bekalan kuasa untuk peranti mudah alih seperti telefon pintar, lampu, kipas dan peralatan lain tidak dapat bertahan sehingga ke hari esoknya.
Tetapi, setibanya di tapak perkhemahan, saya menyedari bahawa Leapmotor C10 bukan sekadar kenderaan yang membawa penumpang. Ini kerana saya sempat menggunakan Leapmotor C10 sebagai alternatif kepada stesen kuasa kami.

Dengan sambungan kuasa yang ada, Leapmotor C10 membolehkan pengecasan telefon pintar, komputer riba, lampu, kipas, dan beberapa peranti elektronik lain dilakukan sewaktu berkhemah.
Fungsi ini menjadikan pengalaman perkhemahan lebih selesa dan praktikal – dan secara tidak langsung, Leapmotor C10 berfungsi sebagai stesen tenaga bergerak, menyokong gaya hidup moden walaupun berada di tengah alam semula jadi.
Ciri Keselamatan Dan Mod Khas
Sepanjang perjalanan, saya turut menguji pelbagai ciri keselamatan canggih Leapmotor C10.
Antaranya termasuk Lane Keeping Assist (LKA) yang mengekalkan kenderaan di lorong, serta Forward Collision Warning (FCW) yang memberi amaran awal jika terdapat risiko perlanggaran. Ciri-ciri ini memberi keyakinan tambahan, terutamanya ketika memandu melalui laluan yang sempit dan mencabar.


Selain aspek prestasi dan keselamatan, Leapmotor C10 juga menawarkan pengalaman digital yang interaktif melalui skrin inforia bersaiz 14.6 inci.
Antara fungsi menarik yang sempat saya cuba ialah Nap Mode danCamp Mode. Untuk Nap Mode, ia akan menyesuaikan kedudukan tempat duduk dan sistem penghawa dingin untuk mewujudkan suasana rehat yang selesa, lengkap dengan muzik latar yang dipilih menggunakan sokongan AI.


Sementara Camp Mode mengekalkan fungsi sistem elektrik tanpa menghidupkan enjin, membolehkan pengguna berehat lebih lama, mendengar muzik, atau menggunakan peranti elektronik tanpa risau bateri habis. Fungsi ini menjadikan Leapmotor C10 bukan sahaja SUV elektrik, tetapi juga ruang peribadi serba guna, sesuai untuk aktiviti luar dan perkhemahan.

Perjalanan sejauh 70 kilometer dari Jalan Reko, Kajang ke Kampungku Retreat membuktikan bahawa Leapmotor C10 bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian di bandar, tetapi juga cukup fleksibel untuk pemanduan luar bandar yang mencabar.
Gabungan prestasi, keselesaan dalaman, jarak pemanduan yang meyakinkan, serta keupayaan membekalkan tenaga elektrik menjadikannya pilihan praktikal bagi mereka yang gemar mengembara atau berkhemah.


Dengan Leapmotor C10, pengalaman memandu SUV elektrik kini tidak lagi terhad kepada jalan raya – ia turut menyokong gaya hidup moden di kawasan luar bandar, menjadikan setiap perjalanan lebih selesa, produktif dan menyeronokkan.