Lindungi Keluarga Daripada Penyakit Bawaan Makanan Ketika Banjir

January 2, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Banjir bukan sahaja membawa kemusnahan kepada kediaman dan harta benda, malah turut menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan awam, khususnya berkaitan keselamatan makanan.

Air banjir lazimnya mengandungi campuran kumbahan, bahan kimia serta sisa kotoran yang boleh mencemari makanan tanpa disedari. Apabila air ini memasuki rumah dan kawasan penyimpanan makanan, risiko penyakit bawaan makanan meningkat dengan ketara.

Selain itu juga, air bertakung selepas banjir mewujudkan persekitaran yang ideal untuk pembiakan bakteria, kulat dan perosak. Makanan yang terdedah kepada keadaan ini berpotensi menyebabkan penyakit serius seperti kolera, tifoid dan disentri – iaitu jangkitan usus yang menyebabkan cirit-birit teruk disebabkan bakteria (seperti Shigella) atau parasit (seperti Entamoeba histolytica).

Dalam situasi pasca-banjir, jangkitan ini boleh mencetuskan krisis kesihatan kedua, terutamanya apabila komuniti berada dalam keadaan tertekan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan menjadi terhad.

Tips Menghindari Penyakit Bawaan Makanan Ketika Banjir

Secara umumnya, kuman berbahaya dan bahan cemar kimia yang dibawa oleh air banjir tidak dapat dikesan melalui rupa, bau atau rasa makanan.

Makanan yang kelihatan selamat mungkin sebenarnya berbahaya untuk dimakan. Oleh itu, jika terdapat sebarang keraguan terhadap keselamatan sesuatu makanan, tindakan paling selamat ialah membuangnya.

#1 Asing Atau Buang Makanan Yang Telah Terkena Air Banjir

Langkah pertama dalam melindungi keluarga ialah mengenalpasti dan mengasingkan makanan yang tidak selamat.

Sebarang makanan yang bersentuhan secara langsung dengan air banjir mesti dibuang serta-merta. Ini termasuk semua buah-buahan dan sayur-sayuran segar, makanan yang telah dimasak, lebihan makanan, serta makanan yang disimpan dalam pembungkusan berliang seperti kotak kadbod, pembalut kertas, plastik nipis atau bekas bertutup skru.

Walaupun pembungkusan kelihatan tidak rosak, pencemaran mikroskopik masih boleh menembusi celah-celah kecil dan mencemarkan kandungannya.

Dalam kes lain, terdapat beberapa makanan komersial yang boleh diselamatkan dengan langkah berjaga-jaga yang ketat. Makanan dalam tin logam dan bungkusan plastik kalis air boleh digunakan semula sekiranya tidak rosak, tidak berkarat, tidak kembung dan tidak bocor.

Namun, harus diingatkan, bekas ini perlu dibersihkan dengan teliti dengan menggunakan sabun dan air bersih, kemudian disanitasi sama ada dengan merendam dalam larutan peluntur ringan (satu sudu besar peluntur isi rumah bagi setiap gelen air bersih) atau dengan merebus bekas tersebut selama sekurang-kurangnya dua minit.

#2 Hati-Hati Dengan Makanan Di Dalam Peti Sejuk

Selain itu, perhatian khusus turut perlu diberikan kepada makanan yang disimpan di dalam peti sejuk dan peti beku.

Gangguan bekalan elektrik sering berlaku semasa banjir dan meningkatkan risiko pencemaran makanan. Sekiranya bekalan elektrik terputus melebihi empat jam, makanan mudah rosak seperti daging, ayam, makanan laut, susu, produk tenusu dan telur perlu dibuang.

Bagi makanan beku pula, makanan yang telah cair sepenuhnya dan berada pada suhu bilik tidak selamat untuk dimakan. Hanya makanan yang masih mengandungi kristal ais atau terasa sejuk seperti suhu peti sejuk boleh dibekukan semula dengan selamat.

#3 Periksa Tahap Kebersihan Air

Keselamatan air juga merupakan aspek penting semasa bencana banjir. Air paip hendaklah dianggap tercemar sehingga pihak berkuasa mengesahkan sebaliknya.

Penggunaan air minuman berbotol adalah pilihan terbaik. Jika tiada, air perlu direbus sehingga mendidih selama sekurang-kurangnya satu minit sebelum digunakan untuk minum, memasak atau membersihkan peralatan penyediaan makanan.

#4 Jaga Kebersihan Diri Dan Persekitaran

Amalan kebersihan diri kekal sebagai benteng utama dalam mencegah penularan penyakit. Tangan perlu dibasuh dengan kerap menggunakan sabun dan air yang selamat, terutamanya sebelum mengendalikan makanan dan selepas bersentuhan dengan air banjir atau permukaan yang berpotensi tercemar.

Dalam penyediaan makanan, langkah berjaga-jaga tambahan perlu diambil. Semua permukaan dapur, papan pemotong, peralatan memasak dan perkakas hendaklah dibersihkan menggunakan air panas bersabun dan disanitasi dengan larutan peluntur.

Makanan perlu dimasak sehingga mencapai suhu dalaman yang selamat dan makanan mudah rosak tidak boleh dibiarkan pada suhu bilik melebihi dua jam.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana keselamatan makanan semasa banjir bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi memerlukan kesedaran dan kerjasama komuniti. Perkongsian maklumat yang tepat kepada jiran dan ahli komuniti amat penting, terutamanya kepada warga emas atau individu yang tinggal bersendirian dan mungkin memerlukan bantuan mengenal pasti makanan yang tidak selamat.

Dengan mengutamakan keselamatan makanan dan membuat keputusan yang tepat, keluarga dapat melindungi kesihatan mereka serta menyokong usaha kesihatan awam secara menyeluruh. Pengetahuan ini memberi keupayaan kepada masyarakat untuk bangkit semula dengan lebih selamat dan berdaya tahan.

Tentang Penulis
Dr. Wendy Pek Kui Lim merupakan pakar keselamatan makanan dan pendidik di Taylor’s Culinary Institute, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Taylor’s University. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perlindungan makanan dan pendidikan kesihatan awam, serta kerap berkongsi kepakaran melalui platform media nasional.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd