MONOPOLY Edisi Kuala Lumpur Dijual Pada Harga RM155

January 2, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

MONOPOLY kini hadir dalam versi edisi Kuala Lumpur yang mana ia ditawarkan bagi meraikan kemeriahan ibu kota Malaysia dengan menampilkan mercu tanda ikonik, kawasan terkenal dan elemen budaya tempatan.

Apa yang menarik, pelancaran permainan papan ini turut menjadi salah satu inisiatif bagi membuka tirai kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mana ia menunjukkan Kuala Lumpur sebagai destinasi menarik untuk pelancong antarabangsa.

Edisi baharu ini membolehkan pemain membeli, menjual, dan berdagang melalui lokasi terkenal Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kampung Baru, Chinatown dan Jalan Alor, dengan setiap petak mencerminkan keunikan budaya dan sejarah bandar.

Permainan ini turut menampilkan beberapa jenama dan rakan kongsi terkenal Kuala Lumpur, termasuk Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park, Sunway City Kuala Lumpur, KLCC, Kapten Batik dan Alice Smith School, sambil menonjolkan sektor hospitaliti, gaya hidup, pendidikan dan kreativiti tempatan.

Bukan itu sahaja, KLIA turut tidak terkecuali sebagai antara destinasi menarik yang dipaparkan di dalam papan permainan ini.

Selain itu, AIA Malaysia turut terlibat sebagai rakan kongsi, dengan jenama mereka dipaparkan pada wang MONOPOLY dan kad Chance yang disesuaikan dengan Kuala Lumpur.

Bagi yang berminat, MONOPOLY: Kuala Lumpur Edition kini boleh didapati di kedai mainan dan peruncit terkemuka di seluruh Malaysia termasuk Toys R Us, BookXcess, MPH, Kinokuniya, Tsutaya, Twigs, York House Toy Store, Jet Set Toy Store (KLIA) dan Foreva Kids Toy Store pada harga RM155.00 – sementara versi bersaiz travel eksklusif hanya tersedia melalui Malaysia Airports.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd