Kosas Shiny Objects – Definisi Baharu Untuk Solekan Moden

January 8, 2026
Kecantikan

Lina Rosli

Jenama kecantikan popular, Kosas, memperkenalkan Shiny Objects, sebuah penyerlah solekan baharu (highlighter) yang mentakrifkan semula kemasan akhir untuk solekan.

Mengambil inspirasi dari objek yang bersinar seperti kristal, permata dan emas, produk ini menangkap cahaya secara lembut dan semula jadi, sekaligus menyerlahkan kecantikan kulit tanpa perlu berlebihan.

Menurut Kosas, Shiny Objects diperkenalkan dengan matlamat menghasilkan penyerlah solekan yang memberikan impak seakan produk cecair, namun dalam format serbuk yang mudah digunakan.

Bukan itu sahaja, penawaran produk ini juga bertujuan untuk mengelakkan masalah lazim penyerlah solekan serbuk tradisional seperti kesan kapur, tekstur yang menonjol dan sisa serbuk yang mudah berterbangan.

Kosas menggunakan teknologi wet-pressed powder dalam penghasilan Shiny Objects dengan mengadun bahan basah dan kering bagi mengekalkan kelembapan. Teknologi ini membolehkan produk menghasilkan kemasan lutsinar dan berkilau, tanpa kesan glitter kasar atau lapisan legap yang menutup tekstur semula jadi kulit.

Selari dengan falsafah “skincare-powered makeup”, Kosas memformulasikan Shiny Objects tanpa silikon dan talkum. Produk ini tidak menyumbat liang pori, sesuai untuk kulit sensitif, serta lulus ujian dermatologi dan oftalmologi.

Kosas turut memperkayakan formulanya dengan ekstrak buah markisa yang kaya antioksidan untuk membantu melembapkan kulit dan memperbaiki tekstur. Ujian klinikal menunjukkan penggunaan Shiny Objects selama seminggu membantu mengurangkan kekeringan serta meningkatkan kehalusan kulit walaupun digunakan pada kulit kosong.

Dari segi rekaan, Kosas mereka pembungkusan Shiny Objects menyerupai permata yang memantulkan cahaya. Penutup lutsinar bersegi memanipulasi pantulan cahaya, manakala bentuk bujur berinspirasikan geometri suci di bahagian dalam mencipta visual seakan batu permata terpotong dengan sentuhan futuristik.

Kosas menawarkan Shiny Objects dalam lima pilihan tona iaitu Glimmerose, Haloed, Opaline, Gilded dan Embered, sekaligus memastikan kesesuaian untuk pelbagai tona kulit.

Pengguna boleh mengaplikasikan penyerlah solekan ini pada pipi, kelopak mata, sudut dalam mata, tulang kening, batang hidung serta bahagian badan seperti tulang selangka dan bahu. Produk ini juga mudah digabungkan dengan solekan krim, cecair atau serbuk, serta boleh dibaur menggunakan berus untuk kesan lembut atau jari bagi kilauan yang lebih menyerlah.

Kosas Shiny Objects dijual pada harga RM159 dan akan mula ditawarkan di endcap terpilih di rangkaian Sephora bermula 4 Februari 2026.

Produk ini kemudiannya akan tersedia secara rasmi bermula 11 Mac 2026 menerusi sephora.my, aplikasi Sephora dan semua rangkaian Sephora di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd