Volvo EX60 Bakal Dilancarkan Dengan Jarak Pemanduan Sehingga 810 Kilometer

January 9, 2026
Automotif

Lina Rosli

Selain pengenalan Volvo ES90 yang dijadualkan akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Januari ini, nampaknya Volvo Cars dilihat hadir dengan sebuah lagi kenderaan elektrik baharu iaitu Volvo EX60. Namun, buat masa ini, pelancarannya hanyalah untuk pasaran global terlebih dahulu.

Berdasarkan perkongsian Volvo Cars, ini merupakan SUV elektrik baharu mereka yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 810 kilometer dengan sekali cas. Angka ini meletakkan EX60 sebagai model elektrik Volvo dengan jarak perjalanan paling jauh setakat ini.

Selain jarak pemanduan yang lebih jauh, EX60 turut menampilkan keupayaan pengecasan terpantas pernah ditawarkan oleh Volvo bagi model elektriknya.

Menggunakan pengecas pantas 400kW, EX60 mampu menambah sehingga 340 kilometer jarak pemanduan dalam masa hanya 10 minit, menjadikan tempoh pengecasan hampir setara dengan henti singkat untuk mengisi minyak atau menikmati secawan kopi.

Untuk pengetahuan anda, keupayaan pengecasan pantas EX60 disokong oleh sistem elektrik 800V baharu Volvo serta perisian yang dibangunkan secara dalaman bagi memastikan pemindahan tenaga yang lebih cekap.

Menurut Volvo Cars lagi, Volvo EX60 juga menjadi model pertama jenama tersebut yang dibina menggunakan teknologi mega casting, di mana ratusan komponen kecil digantikan dengan satu struktur tuangan berketepatan tinggi. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan berat kenderaan, malah meningkatkan kecekapan keseluruhan dan prestasi jarak pemanduan.

Bukan itu sahaja, Volvo turut menawarkan jaminan bateri selama 10 tahun kepada semua pemilik EX60.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini, Volvo EX60 akan diperkenalkan secara rasmi pada 21 Januari 2026 menerusi acara pelancaran yang akan disiarkan secara langsung.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd