BMW Group Malaysia Lancar BMW i5 Pemasangan Tempatan – Harga Bermula RM368,800 Serta BMW iX1 Serba Baharu

January 15, 2026
Automotif

Bat

BMW Group Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju mobiliti elektrik premium apabila memperkenalkan dua model serba elektrik terbaharu mereka, iaitu BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan bermula pada harga RM368,800 dan juga BMW iX1 eDrive20L M Sport yang bermula pada harga RM255,000.

Pelancaran ini sekali gus mencatat sejarah sebagai BMW i5 pertama yang dipasang secara tempatan di Malaysia dan juga yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik.

Menurut BMW Group Malaysia, pemasangan tempatan BMW i5 bukan sekadar pelancaran produk baharu, malah mencerminkan komitmen jangka panjang jenama ini terhadap pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia. Langkah ini turut memperkukuh keupayaan tempatan serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi dan pembuatan kenderaan elektrik premium.

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro tampil sebagai sedan eksekutif elektrik yang menggabungkan rekaan moden dan prestasi canggih. Model ini menggunakan teknologi BMW eDrive generasi kelima yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 627 kilometer mengikut piawaian WLTP. Dari sudut luaran, ia diperkemaskan dengan gril BMW Shadowline Iconic Glow, lampu hadapan LED Adaptif serta rim Aerodinamik M 20 inci yang menyerlahkan karakter sporty dan elegan.

Di ruang dalaman, BMW Curved Display yang menggabungkan paparan instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci – disokong oleh BMW Interaction Bar dengan kawalan sentuhan dan pencahayaan ambien dinamik. Pengalaman pemanduan turut dipertingkatkan melalui sistem bunyi Surround Bowers and Wilkins bersama BMW IconicSounds Electric.

Dari aspek prestasi, penggunaan sistem BMW eDrive generasi kelima yang dipertingkatkan, teknologi pengurusan haba pintar serta sokongan pengecasan pantas sehingga 205 kW memastikan pemanduan yang cekap dan praktikal untuk kegunaan harian.

Selain itu, BMW iX1 eDrive20L M Sport pula diperkenalkan sebagai varian jarak roda panjang yang menawarkan peningkatan ketara dari segi ruang dan keselesaan. Dengan jarak roda dipanjangkan sebanyak 110 mm dan panjang keseluruhan bertambah 116 mm, model ini menyediakan ruang kaki dan lutut yang lebih luas berbanding barisan BMW iX1 sebelum ini.

Reka bentuk luaran menampilkan gril tertutup berkemasan Shadowline dengan elemen berbentuk X, lampu hadapan LED Adaptif langsing serta rim aloi ringan M 19 inci yang melengkapkan siluet lebih memanjang dan matang.

Di bahagian dalaman, terdapat BMW Curved Display bersama BMW Operating System 9, serta bumbung panorama tanpa tiang tengah yang menawarkan pandangan luas tanpa gangguan. Ciri-ciri lain termasuk sistem bunyi Harman Kardon, pengecasan tanpa wayar dan pelbagai kemudahan pintar yang menyokong gaya hidup bandar moden.

Dari segi prestasi, BMW iX1 eDrive20L M Sport dikuasakan motor elektrik pacuan hadapan dengan kuasa 204 hp, jarak pemanduan sehingga 433 kilometer serta sokongan pengecasan pantas.

Pelancaran kedua-dua model ini melengkapkan lagi barisan kenderaan elektrik BMW di Malaysia, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih luas kepada pengguna yang mencari gabungan prestasi, teknologi dan kemewahan dalam pengalaman pemanduan elektrik.

Tambahan, tawaran eksklusif untuk BMW 218 Gran Coupe Sport terhad kepada 150 unit sahaja dari 15 Januari hingga 31 Mac 2026*

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana pusat pameran yang berdekatan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd