BMW Group Malaysia Kini Buka Pusat Pameran Retail.NEXT Dan Stesen Pengecas EV Di Alor Setar

January 20, 2026
Automotif

Lina Rosli

BMW Group Malaysia terus memperluas komitmennya dalam menawarkan pengalaman pemilikan premium yang lebih menyeluruh, khususnya di wilayah Utara.

Menerusi dua pengumuman utama, pengeluar automotif ini memperkenalkan pusat pameran Lee Motors yang baharu di Alor Setar dengan konsep Retail.NEXT, serta melancarkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) hasil kerjasama bersama DC Handal.

Langkah ini bukan sekadar penambahan fizikal, tetapi mencerminkan hala tuju BMW Group Malaysia dalam membina ekosistem mobiliti premium yang lebih mudah diakses, moden dan bersedia untuk masa hadapan.

Pusat pameran Lee Motors kini beroperasi di lokasi baharu di 218, Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan Mergong II, Alor Setar, Kedah. Dengan keluasan 50,000 kaki persegi, fasiliti ini direka sepenuhnya mengikut konsep Retail.NEXT yang menekankan pengalaman pelanggan menerusi gabungan seni bina kontemporari, pendigitalan serta persekitaran yang lebih mesra pengunjung.

Di sini, pelanggan boleh menikmati kemudahan yang lebih menyeluruh, merangkumi ruang jualan dan servis, ruang serahan kenderaan, ruang hospitaliti, serta penerimaan servis kenderaan.

Pusat ini turut menawarkan perkhidmatan lengkap termasuk jualan, servis, alat ganti, baik pulih badan dan cat yang diiktiraf, serta perkhidmatan kewangan. Kesemuanya disokong oleh pasukan profesional seramai 50 orang yang bersedia memenuhi keperluan pelanggan baharu dan sedia ada.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, pemindahan ini mencerminkan evolusi pengalaman jualan automotif premium yang semakin berfokus kepada pelanggan. Ia juga selari dengan peningkatan permintaan terhadap mobiliti premium di rantau Utara serta jangkaan pelanggan yang semakin tinggi terhadap standard perkhidmatan.

Menariknya, fasiliti ini turut menerima Pensijilan Bangunan Hijau GreenRE Bronze, sekaligus menegaskan komitmen Lee Motors terhadap kemampanan. Ruang yang lebih luas juga membolehkan perancangan kapasiti masa hadapan, bagi menyokong pertumbuhan melebihi jualan tahunan semasa antara 200 hingga 250 unit.

Stesen Pengecasan EV Oleh DC Handal Di Alor Setar

Selain pusat pameran baharu, BMW Group Malaysia turut memperkukuh infrastruktur EV di Alor Setar menerusi pembukaan sebuah stesen pengecas baharu yang dikendalikan oleh DC Handal dengan kerjasama Lee Motors.

Stesen ini dilengkapi satu pengecas pantas arus terus 180 kW dan dua pengecas arus terus 60 kW, dengan kadar pengecasan bermula daripada RM1.30 per kWh.

Kemudahan ini memberikan pilihan pengecasan yang lebih pantas dan diyakini kepada pemilik EV di Kedah – selain turut mengurangkan kebimbangan berkaitan jarak perjalanan dan akses tenaga. Ia juga selari dengan peranan BMW Group Malaysia sebagai peneraju dalam segmen kenderaan elektrik premium di negara ini.

Sehingga 2025, BMW Group Malaysia telah memperkenalkan lebih 2,000 kemudahan pengecasan di seluruh negara, termasuk peluasan terkini di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Melalui portfolio EV yang komprehensif serta prinsip keterbukaan teknologi, BMW Group Malaysia membentuk rangkaian mobiliti elektrik yang lebih terhubung, mudah diakses dan bersedia menghadapi masa hadapan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd