Kempen SELAMAT Volvo – Meraikan Semula Legasi Keselamatan Kenderaan
Lina Rosli
Dalam landskap automotif yang semakin dipenuhi jenama kenderaan elektrik baharu, Volvo Car Malaysia memilih pendekatan berbeza untuk memperkenalkan model terbaharunya, Volvo ES90.
Daripada terus memfokuskan kepada produk, jenama ini terlebih dahulu memperkenalkan satu “jenama kereta baharu” yang dinamakan SELAMAT — satu inisiatif kreatif yang sebenarnya mencerminkan nilai teras Volvo sejak hampir satu abad lalu iaitu keselamatan.
Kempen SELAMAT bukan sekadar strategi pemasaran, sebaliknya merupakan usaha bersepadu sepanjang tahun 2026 untuk mengingatkan semula rakyat Malaysia bahawa keselamatan bukanlah sekadar ciri teknologi, tetapi satu komitmen yang perlu difahami, dirasai dan diamalkan dalam setiap perjalanan.

SELAMAT – Makna Yang Dekat Dengan Kehidupan Harian
Di Malaysia, perkataan “selamat” digunakan hampir setiap hari — selamat pagi, selamat jalan, selamat sampai. Namun di sebalik penggunaan yang ringkas, perkataan ini membawa makna yang jauh lebih besar, iaitu perlindungan, kesejahteraan dan ketenangan.
Inilah falsafah yang menjadi asas kepada Volvo sejak penubuhannya, termasuk kehadirannya di Malaysia sejak tahun 1966.
Bagi Volvo, keselamatan bukan sekadar ciri tambahan, tetapi nilai yang membentuk setiap aspek rekaan, kejuruteraan dan inovasi mereka.

Untuk pengetahuan anda, kempen SELAMAT telahpun dilancarkan sejak 15 Januari 2026 apabila sebuah Volvo ES90 yang dibalut dengan grafik khas “SELAMAT” mula kelihatan di sekitar Kuala Lumpur.
Kehadiran ini turut disokong oleh paparan digital luar (DOOH), kempen media sosial dan laman web khas.
Sepanjang tahun ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemanduan selamat. Kempen ini akan memuncak dengan SELAMAT Drive, satu acara pemanduan utama yang dijadualkan berlangsung pada suku kedua 2026, di mana orang ramai berpeluang merasai sendiri gabungan tabiat pemanduan selamat dan teknologi keselamatan Volvo dalam situasi sebenar.

Legasi Keselamatan Yang Terbukti
Komitmen Volvo terhadap keselamatan bukan sesuatu yang baharu. Di peringkat global, jenama ini telah menerajui pelbagai inovasi keselamatan sejak tahun 1927, termasuk penciptaan tali pinggang keselamatan tiga titik pada tahun 1959 — satu inovasi yang dianggarkan telah menyelamatkan lebih sejuta nyawa di seluruh dunia.
Hari ini, setiap model Volvo dilengkapi dengan Safe Space Technology, iaitu pendekatan menyeluruh yang merangkumi struktur kenderaan, sistem keselamatan aktif dan pasif, serta teknologi yang direka untuk menjangka dan mengelakkan kemalangan.
Pada masa hadapan, Volvo juga merancang untuk memperkenalkan Multi-Adaptive Safety Belt, evolusi baharu dalam sistem perlindungan penumpang.
Jadinya, melalui kempen ini, Volvo Car Malaysia bukan sahaja membina kenderaan yang lebih selamat, tetapi turut menyumbang ke arah masa depan di mana keselamatan menjadi kemewahan tertinggi — demi melindungi nyawa, membina keyakinan dan memastikan ketenangan di setiap perjalanan.