Big Bad Wolf Hot Box Book Sale Kembali Pada 2026 – Akan Diadakan Di Hextar World Empire City
Lina Rosli
Selepas setahun tidak dianjurkan dan susulan permintaan berterusan daripada para pencinta buku, Big Bad Wolf Books mengumumkan kembalinya Hot Box Book Sale pada tahun 2026. Jualan buku unik ini akan berlangsung dari 7 hingga 15 Februari 2026 di Aras G, Hextar World, Empire City, Exhibition Hall, Kuala Lumpur.
Menurut Big Bad Wolf, acara ini akan berlangsung setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

Bagi yang tidak mengetahui, Hot Box Book Sale menawarkan pengalaman membeli buku yang berbeza dengan jualan konvensional. Lebih 500,000 judul buku akan ditampilkan, merangkumi kategori kanak-kanak, fiksyen, bukan fiksyen serta buku untuk meja kopi – ini secar tidak langsung memberikan pilihan yang luas untuk pelbagai lapisan pembaca.
Konsep Hot Box memberi kebebasan sepenuhnya kepada pengunjung untuk memilih sebuah kotak dan mengisinya sendiri dengan buku-buku pilihan mereka. Berbeza dengan pakej pra-pilih, pendekatan ini membolehkan pembaca meneroka, menyusun dan mencipta kurasi bacaan mengikut cita rasa masing-masing.

Bukan itu sahaja, keunikan Hot Box juga terletak pada keadaan buku yang ditawarkan. Buku-buku dijual dalam pelbagai kondisi yang boleh dilihat secara jelas, membolehkan pembaca menukar ketidaksempurnaan kecil kepada penjimatan harga yang ketara.
Seperti edisi-edisi terdahulu, jualan ini dijalankan berdasarkan prinsip siapa cepat, dia dapat. Pengunjung terawal dijangka menikmati pilihan paling luas, terutamanya pada minggu pertama jualan, di mana peluang untuk mendapatkan judul popular adalah lebih tinggi.
Bagi yang berminat, anda boleh berkunjung ke Hot Box Book Sale di Hextar World bermula 7 Februari 2026 ini!