Santan Boleh Dinikmati Di Tren MySawasdee KL–Hat Yai Bermula 30 Januari 2026
Lina Rosli
Berita baik buat anda yang ingin ke Hat Yai menaiki tren dari Kuala Lumpur. Kini, Santan, jenama kulinari yang sebelum ini sinonim dengan pengalaman menjamu selera di awan biru, kini melangkah lebih jauh dengan memperluaskan perkhidmatannya ke sektor pengangkutan kereta api bermula 30 Januari 2026.

Melalui peluasan ini, para penumpang tren Sawasdee yang menghubungkan KL Sentral ke Hat Yai bakal menikmati hidangan Santan sepanjang perjalanan merentas sempadan yang semakin mendapat perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.
Perkhidmatan ini akan mula beroperasi pada 30 Januari 2026 dan ditawarkan khusus untuk laluan tren Sawasdee antara KL Sentral dan Hat Yai.

Fokus utama adalah penyediaan hidangan panas serta pilihan snek berkualiti tinggi bagi memastikan keselesaan penumpang sepanjang perjalanan merentas negara.
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial Santan, antara tawaran yang boleh dinikmati oleh para penumpang termasuklah menu popular Nasi Lemak Pak Nasser, minuman sejuk sepeti Iced Americano dan juga Iced Latte, serta makanan dan minuman pra-campur seperti bubur ayam dan cendawan, mi segera perisa mala dan juga teh tarik kaw.

Bagi mereka yang merancang percutian ke Hat Yai pada hujung Januari ini, inisiatif baharu ini pastinya menambah nilai kepada pengalaman perjalanan.
Maklumat lanjut mengenai pilihan menu dan tempahan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Santan serta rakan kerjasama pengangkutan rel dalam masa terdekat.